Terjun longkang elak diri dicekup

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KOTA LAKSAMANA 22 Februari – Sekumpulan pendatang tanpa izin (PATI) nekad menggadaikan nyawa terjun ke dalam longkang sedalam lima meter demi mengelakkan diri daripada dicekup dalam serbuan di kawasan pembinaan di Taman Kota Laksamana di sini, malam tadi.

Tindakan berani PATI itu bagaimanapun tidak berhasil apabila ditahan sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka dalam serbuan bermula jam 12 tengah malam tadi dan berakhir tiga jam kemudian.

Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Daini berkata dalam serbuan menerusi Ops Sapu yang dijalankan, seramai 117 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 90 orang ditahan.

Katanya, kesemua PATI ditahan terdiri daripada 10 individu termasuk dua wanita warga Indonesia, 75 lelaki warga Bangladesh dan 14 lelaki warga Myanmar serta seorang lelaki warga Pakisatan berusia antara 25 hingga 40 tahun
.
“Serbuan dilakukan berdasarkan aduan diterima berkaitan lambakan warga asing yang bekerja di tapak pembinaan itu.

“Ketika serbuan dijalankan, beberapa PATI nekad melarikan diri dengan terjun ke dalam longkang sedalam lima meter malah ada yang cuba meloloskan diri memandangka keadaan persekitaran yang gelap dan membahayakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Whatsapp Image 2024 02 22 At 12.48.42 80744493
Kawasan tapak pembinaan di Taman Kota Laksamana yang diserbu JIM Melaka. Foto JIM Melaka

Mengulas lanjut, beliau berkata antara kesalahan dikenal pasti termasuk tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selain tinggal lebih masa di negara ini serta lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)/Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta
Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Satu saman turut dikeluarkan terhadap saksi iaitu pegawai keselamatan di premis tersebut dan majikan semua pekerja asing yang ditahan akan dikesan bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Anirwan Fauzee berkata operasi penguatkuasaan itu akan dilaksanakan secara berterusan dengan bertumpu kepada lokasi panas yang menjadi tumpuan warga asing.

Katanya, tindakan tegas turut akan diambil terhadap majikan menggajikan warga asing tanpa dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah dan individu yang sengaja memberi perlindungan pada warga asing yang telah melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

874
Kongsi :
Previous post MGBM gilap potensi belia Melaka
Next post Tahun Baru Cina lebih bererti buat penghuni Penjara Sungai Udang
Ubah saiz-+=