MGBM gilap potensi belia Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

LENDU 22 Februari – Menggilap peluang dan potensi belia di negeri ini menjadi antara misi dan fokus utama kepimpinan baharu Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) sesi 2024-2026.

Presiden MGBM Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, mandat yang diberikan untuk menerajui legasi kepimpinan itu akan dimanfaatkan sebaiknya dalam memastikan belia di negeri ini menjadi yang terbaik antara yang terbaik dan boleh menyumbang kepada negara pada masa akan datang.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri bertekad mahu memastikan belia di negeri ini dapat menjadi antara barisan pemimpin negara pada masa hadapan.

“Insya-Allah kita akan meneruskan legasi kepimpinan terdahulu dan menambah baik beberapa perkara untuk memastikan potensi belia Melaka sentiasa digilap dan ada peluang-peluang yang lebih baik untuk mereka.

“Di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, beliau suka melihat belia yang kreatif, agresif dan progresif.

“Jadi, MGBM akan sahut perkara itu supaya kita dapat membina kumpulan pemimpin masa hadapan dalam kalangan belia ini dengan lebih baik,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-40 (MPAT-40) MGBM di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, di sini, baru-baru ini.

Khaidhirah yang merupakan presiden wanita pertama MGBM berkata, belia di negeri ini cukup bertuah kerana Kerajaan Negeri mempunyai pelbagai perancangan dan inisiatif bagi membantu agenda pemerkasaan belia.

Menurutnya, antara inisiatif terbaharu diumumkan ialah sewaan premis percuma selama setahun di Pulau Melaka yang boleh dimanfaatkan untuk belia yang berminat bidang keusahawanan dan sebagainya.

“Ini adalah peluang yang sangat baik untuk belia Melaka memanfaatkan peluang ini kerana kebiasaannya untuk berniaga di kawasan bandar, sewa kedainya boleh mencecah ribuan ringgit.

“Namun, dengan kadar RM600 hingga RM700 di premis kedai komersial milik Perbadanan Ketua Menteri (CMI) di Pulau Melaka, ia satu peluang yang terbaik untuk dimanfaatkan.

“Jika ada belia yang berminat, boleh berhubung dengan pertubuhan belia di bawah MGBM untuk kita selaraskan bersama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka,” katanya yang memaklumkan terdapat sebanyak 617 unit premis kedai boleh direbut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

386
Kongsi :
Previous post Jangan taasub pada mana-mana individu
Next post Terjun longkang elak diri dicekup
Ubah saiz-+=