Tak perlu lantik dua ADUN PN sebagai EXCO Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SEREMBAN 23 Nov – Tiada keperluan untuk melantik dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perikatan Nasional (PN) sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka, tegas Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden Barisan Nasional (BN) itu berkata, langkah itu tidak perlu dilakukan memandangkan BN sudah mempunyai bilangan kerusi majoriti dua pertiga dan cukup untuk pembentukan kerajaan negeri di Melaka.

“Kalau bertanding tidak bersama, takkan bila menang mahu ‘makan bersama’?

“Saya mahu tanya apa keperluannya, bila kita buat sesuatu mesti ada keperluan.

“Jika kita tidak cukup kerusi betul la, tetapi kita sudah berlebihan kerusi, dalam kalangan kita juga sudah berlebih untuk dilantik sebagai exco,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Katanya lagi, jika isu itu dibawa kepada kepimpinan UMNO sekalipun, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO akan tetap mempersoalkan keperluannya (melantik dua ADUN PN), melainkan jika diberi penjelasan yang munasabah.

Beliau menambah, bukan sesuatu yang pelik sekiranya persefahaman dan kerjasama parti berlaku di peringkat pusat namun tidak berlaku di peringkat negeri.

“Banyak negara lain, di peringkat kerajaan persekutuan, mereka bersama tetapi di negeri mereka tidak bersama. Itu bukan satu kejanggalan dan bukan baharu tetapi di Malaysia ia kali pertama.

“Kalau tidak ada apa-apa buat apa mahu pening-pening kepala, kalau kerajaan Melaka membentangkan, saya akan tanya, kalau mereka boleh nyatakan dan memaklumkan ada keperluan tersebut, kita setuju.

“Kita juga tidak mahu buat ia sukar untuk mana-mana pihak, tetapi justifikasi mesti ada, itu sahaja,” kata lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

540
Kongsi :
Previous post Bayaran fasa 2 Bantuan Khas COVID-19 mulai Khamis – PM
Next post Ini masanya untuk cipta sejarah – Zainal
Ubah saiz-+=