Tak sempat jual hasil curi bar emas, dah kena cekup

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 November – Hasrat seorang wanita untuk menjual bar emas 999 bernilai RM29,000 yang dilarikannya dari di sebuah kedai perhiasan itu di Jalan Kampung Jawa tidak kesampaian apabila dicekup semalam.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Malim Jaya ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah pada jam 6.45 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurus kedai emas terbabit berusia 45 tahun memaklumkan didatangi suspek yang berdiri di hadapan pintu utama premis berkenaan pada kira-kira jam 4.30 petang, pada 30 Oktober lalu.

Katanya, suspek meminta pengadu mengeluarkan bar emas itu daripada almari kaca untuk melihatnya.

“Lebih kurang tiga minit bar emas diserahkan, suspek yang memegang bar emas itu terus melarikan diri dan pengadu cuba mengejar suspek namun wanita terbabit meloloskan diri ke dalam sebuah kereta Nissan Livina berwarna kelabu yang didakwa bersama dua lagi individu.

“Bertindak atas laporan itu, polis mengesan suspek dan menahannya di kediamannya di Taman Malim Jaya sebelum merampas bar emas yang disimpan di kediaman keluarganya di Taman Seri Mangga dalam serbuan kira-kira satu jam kemudian,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek baharu sahaja diberhentikan kerja daripada sebuah restoren dan dipercayai mengambil duit daripada premis tempat dia bekerja.

“Bar emas yang dicuri dipercayai bertujuan untuk mendapatkan duit bagi menampung kehidupannya yang tidak bekerja dan suspek turut mengaku terlibat dalam satu lagi kes kecurian yang disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Kesekaan di Tengkera.

“Permohonan remah dijangka diperolehi hari ini bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1143
Kongsi :
Previous post LKIM bangunkan kolam, tanah terbiar perkasa hasil laut
Next post Jalan dah terang, lain pula jadinya
Ubah saiz-+=