LKIM bangunkan kolam, tanah terbiar perkasa hasil laut
SUNGAI RAMBAI 8 November – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan terus memperkasakan keluaran hasil laut dengan mengusahakan tanah dan kolam terbiar miliknya di yang terletak di beberapa lokasi seluruh negeri dengan kos yang dianggarkan kira-kira RM10 juta.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata, usaha itu perlu digerakkan segera bagi memastikan keluaran hasil laut seperti udang putih, udang harimau, ikan kerapu termasuk juga belangkas dapat memenuhi permintaan dan dijual kepada pengguna dengan harga berpatutan.
“Dalam usaha memperkasakan hasil akuakultur ini LKIM akan menggerakkan semua aset yang ada termasuk beberapa kolam dan tanah yang sebelum ini tidak diusahakan dengan segera. Ia membabitkan beberapa kawasan iaitu di Bukit Baluk, Langkawi; Pantai Merdeka, Kedah; Juru, Pulau Pinang dan Bandung, Pahang.
“Ada diantaranya kita sudah bangunkan selain beberapa lagi masih dalam proses mencari pengusaha yang mampu untuk mengusahakan kolam serta tanah terbiar ini. Kita anggarkan kos untuk membangunkan semula kesemua kolam serta tanah terbiar yang dijalankan sejak 2018 kira-kira RM10 juta.
“Dengan projek akuakultur yang kita sedang perkasakan ini, LKIM juga yakin lebih banyak hasil laut dapat diperoleh bagi memenuhi keperluan rakyat untuk mendapatkan bekalan dan juga harga yang lebih stabil di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Jualan My Aqua’ Best yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abdul Azis, di Projek Ternakan Udang Dalam Kolam Fasa II, Kampung Sebatu, hari ini.
Menurutnya, selain menggerakkan tanah serta kolam terbiar, LKIM juga akan memastikan persatuan nelayan dibawahnya akan mempunyai produk perikanan sendiri dalam membantu nelayan menjana pendapatan sampingan.
“Kita mahu membantu persatuan nelayan ini menjadi satu entiti yang menguasai industri perikanan sekaligus dapat menambah pendapatan nelayan dan juga membantu kerajaan menambah bekalan hasil laut.
“Malah nelayan juga disaran lebih proaktif dengan menyahut usaha kerajaan dalam usaha membawa agenda keterjaminan makanan dengan menceburi bidang akuakultur yang dilihat dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan sekaligus tingkatkan taraf sosioekonomi nelayan itu sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.