Taktik penyamun bakar mercun samun kedai emas gagal

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

JOHOR BAHRU, 18 Jan – Taktik seorang penjenayah membakar mercun untuk mengalihkan perhatian orang ramai sebelum cuba menyamun sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Taman Mutiara Rini, Skudai dekat sini, malam tadi gagal apabila beliau ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata lelaki tempatan berusia 33 tahun itu ditahan di tempat kejadian selepas pihak polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 10 malam tadi.

“Hasil siasatan awal, lelaki berkenaan yang tidak bersenjata telah membakar mercun di ruang tengah pasar raya, sebelum meluru masuk menuju pintu hadapan kedai ketika pintu shutter premis berkenaan yang sedang ditutup separuh sebelum terus ke tempat peti besi di belakang premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ANTARA barang yang dirampas daripada penjenayah yang dipercayai cuba menyamun kedai emas di Taman Mutiara Rini, di sini. Foto Facebook Polis Daerah Iskandar Puteri

Dzulkhairi berkata lelaki berkenaan turut menumbuk pengurus wanita kedai berkenaan menyebabkan mangsa cedera di pipi kiri.

Polis turut merampas topeng muka, pemetik api, sepasang sarung tangan dan mercun.

Beliau berkata setelah disiasat, lelaki berkenaan didapati mempunyai tujuh rekod lampau melibatkan enam kes jenayah samun dan satu kes curi kenderaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan permohonan reman ke atas lelaki berkenaan akan dibuat hari ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

882
Kongsi :
Previous post Epal umpan perhatian monyet masuk perangkap
Next post 23 anggota, pegawai polis Pahang dibuang kerja – Ramli
Ubah saiz-+=