Taman Tema Disneyland terbesar di ASEAN bakal dibina di Melaka – Exco

AYER KEROH 15 November – Sebuah Taman Tema Disneyland dan Disney City berkeluasan kira-kira 80.9 hektar yang terbesar di Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bakal dibangunkan dalam daerah Jasin pada tahun 2027.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pembangunan taman tema itu adalah yang pertama diwujudkan di ASEAN selepas China, Korea, Eropah dan Jepun dan pembinaannya menelan kos kira-kira RM2 bilion.

“Setelah lebih 20 tahun, kita akan ada taman tema baharu walaupun tidak berapa besar tetapi saya rasa memadai dengan nama Disneyland yang dapat dibawa masuk.

“Ianya akan menambahbaik lagi sasaran kita untuk mempertingkatkan sasaran 20 juta pelancongan dalam masa tiga tahun dan kembali pada landasan yang asal iaitu 18.7 juta pelancong yang telah kita capai pada tahun 2019.

“Disneyland dalam perancangan, kita sedang rencanakan kemungkinan insya-Allah berada di dalam daerah Jasin, kita tak boleh maklum dahulu lokasi yang sebenar, keluasannya sekitar 150 hingga 200 ekar (60.7 hingga 80.9 hektar).

“Bukan hanya Disneyland tetapi juga ada cadangan pembangunan 22 kilometer sistem ‘Maglev’ bagi menghubungkan lokasi ‘hotspot’ pelancongan Melaka dengan nilai pelaburan 200 juta dolar bersamaan RM900 juta, secara keseluruhan projek ini boleh mencapai hingga RM2 bilion,” katanya.

photo_2022-11-15_17-52-13
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis (tujuh dari kanan) bergambar bersama agensi yang terlibat pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi cadangan 22KM Sistem ‘MAGLEV’ untuk menghubungkan Lokasi Hotspot Pelancongan dan Pembangunan Taman Tema Disneyland serta Disneyland City, Negeri Melaka di Hotel Mudzaffar, Ayer Keroh. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Bagi Cadangan 22KM Sistem Maglev untuk Menghubungkan Lokasi Hotspot Pelancongan dan Membangunkan Taman Tema Disneyland serta Disneycity di Negeri Melaka di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Menara Taming Sari, Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Melaka Berhad, Mohd Salleh Jusman; Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad, Azlan Abidin; Pengerusi KCI Metrolink Sdn Bhd, Dr. Parimalan R. Isa Michael dan wakil Korea Camping Caravanning Federation Adivisional Corporation, Mr Sunkyo Chris Lee.

MoU berkenaan melibatkan beberapa syarikat termasuk Taming Sari Berhad, Institusi Perbankan (Exim Credit Dubai Zurich Capital Bank & Sparco Bank UK) dan Korea Camping Caravanning Federation A Divisional Corporation (KCCF).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

36965
Previous post PRU15: Pusat pengundian awal ditutup 5 petang
Next post PRU15: SPR keluarkan 365,686 kertas undi pos