Taman tema, muzium, Zoo Melaka terima pengecualian duti hiburan 2021

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

SERI NEGERI 18 Jun – Melaka mengecualikan duti hiburan kepada semua taman tema air, Taman Mini Malaysia, Taman Buaya, muzium, Zoo Melaka, Taman Rama-rama dan A’Famosa Night Safari bagi tahun 2021.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pengecualian itu diberikan bagi membantu meringankan beban industri pelancongan yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, pengecualian itu akan melibatkan pengurangan hasil negeri sebanyak RM1 juta.

“Melalui Belanjawan Melaka 2021, kerajaan negeri telah mengecualikan duti hiburan untuk tiga taman tema air, iaitu A’ Famosa Water Theme Park, Bayou Lagoon Resort dan Melaka Wonderland Water Theme Park, pada 2021, serta program hiburan keluarga bermusim.

“Lanjutan itu, kerajaan Melaka juga memanjangkan pengecualian duti hiburan ini kepada Taman Mini Malaysia, Taman Buaya, Muzium-muzium, Zoo Melaka, Taman Rama-Rama dan A’Famosa Night Safari bagi tempoh sepanjang tahun 2021,” katanya dalam pengumuman khas Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021: Sejahtera Bersama yang dipancarkan secara langsung dari Seri Negeri, hari ini.

Sementara itu, Taman Mini Malaysia dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan di atas keprihatinan Ketua Menteri dan kerajaan negeri yang telah menyediakan pelbagai insentif untuk membantu industri pelancongan negeri.

“Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park mengucapkan Terima kasih kepada Datuk Seri Utama Sulaiman bin Md Ali dan Kerajaan Negeri Melaka di atas insentif yang diberikan kepada penggiat pelancongan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Melaka,” kata kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

948
Kongsi :
Previous post Berbesar hati sumbang ITK dan ITKA
Next post REAKSi: Terima kasih salur bantuan, kami hampir ‘gantung kunci’- Pemandu e-hailing
Ubah saiz-+=