Tambahan RM500 bantuan GKP bantu peniaga kecil – PM

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PUTRAJAYA 30 Mei – Bagi memastikan kelangsungan hidup perniagaan khususnya membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini, kerajaan telah bersetuju untuk memberi bantuan tambahan Geran Khas Prihatin (GKP).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kadar GKP akan ditambah sebanyak RM500 menjadikan peniaga kecil daripada sektor PKS dan perusahaan mikro di negara ini akan memperoleh bantuan keseluruhan berjumlah RM1,500.

Katanya, hampir satu juta penerima GKP dijadual akan menerima RM1,000 pada pertengahan Jun dan baki RM500 lagi akan disalurkan pada Julai.

“Kerajaan akan terus membantu untuk memastikan kelangsungan perniagaan, khususnya kepada PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka.

“Sehubungan itu, sukacita diumumkan kadar GKP akan ditambah sebanyak RM500 kepada RM1,500. Ini bermakna, hampir satu juta PKS dan perusahaan mikro akan menerima RM1,000 pada pertengahan Jun dan RM500 lagi akan disalurkan pada bulan Julai,” katanya dalam Perutusan Khas Bantuan PKP 3.0 yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu yang diumumkan, kerajaan masih membenarkan operasi jual-beli peniaga kecil, penjaja jalanan dan termasuk perusahaan mikro sepanjang tempoh PKP penuh ini.

Justeru, beliau berkata, sekiranya para peniaga ingin mendapatkan pembiayaan mikro kredit sebagai modal kerja, sebanyak RM1.5 bilion disediakan sepanjang tahun ini oleh BSN, TEKUN, MARA, SME Corp. dan YAPEIM dengan kadar pembiayaan serendah tiga peratus.

“Selain itu, bagi membantu aliran tunai syarikat dan PKS, institusi perbankan akan terus menawarkan kemudahan pembiayaan dan pinjaman. Dana institusi perbankan telah dimantapkan lagi melalui pelbagai fasiliti pinjaman mudah PKS pembiayaan BNM yang masih berbaki RM5 bilion.

“Untuk menyokong lagi PKS, BNM akan menambah fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk PKS terjejas sebanyak RM2 bilion. Dengan itu, jumlah dana pinjaman untuk PKS dengan kadar pinjaman serendah 3.5 peratus yang masih tersedia adalah sebanyak RM7 bilion,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

477
Kongsi :
Previous post Program Subsidi Upah dilanjutkan – Muhyiddin
Next post PEMERKASA tambahan bantu rakyat harungi PKP yang lebih ketat- PM
Ubah saiz-+=