Tangguh Hospital Medan, PKRC MITC terima pesakit kategori 3 dan 4 – Rahmad

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER MOLEK 21 Julai – Susulan penangguhan pembukaan Hospital Medan, PKRC MITC mula menerima kemasukan pesakit COVID-19 kategori 3 dan 4 selain bagi menampung kepadatan pesakit di Hospital Melaka.

Exco Kesihatan Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini lebih 10 pesakit kategori itu telahpun dimasukkan di
Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC sejak dua minggu yang lalu.

“Hasrat Melaka untuk membangunkan sebuah Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jasin ditangguhkan kerana kekangan pihak ATM dari segi aset dan kakitangan yang sudah mencapai tahap maksimum.

“Jadi kita ambil langkah mempertingkatkan kapasiti di PKRC MITC untuk merawat kes-kes kategori 3 dan 4,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MHI selepas Program Rakaman Menyembelih dan Melapah Daging Korban oleh MHI di Pusat Penternakan Lembu Wak Samah, Kampung Bukit Gadong Paya Dalam, malam tadi.

RAHMAD (dua dari kiri) menyembelih lembu pada Program Menyembelih dan Melapah Daging Korban di Pusat Penternakan Lembu Wak Samah, Kampung Bukit Gadong Paya Dalam, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri itu, berkata, untuk permulaan PKRC MITC akan menerima seramai 30 pesakit daripada kategori itu.

“Selama ini di PKRC MITC kita merawat kategori 1 dan 2, dalam seminggu ke dua minggu lepas kita dah mula merawat pesakit kategori 3, selepas ini kita akan rawat kategori 3 dan 4.

“Ada juga cadangan di tempat lain, tapi jabatan kesihatan sarankan lebih sesuai di PKRC MITC dengan kemudahan rawatan serta pakar-pakar perubatan yang ada di situ”, katanya.

Jelas Rahmad, kerajaan negeri akan menyediakan fasiliti yang hampir sama dengan hospital di PKRC MITC.

“Pihak ATM sedia membantu dari segi consulting bagaimana untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan kes COVID-19.

“Kita pun tahu majoriti pesakit kategori 3 dan 4 adalah menggunakan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Katanya bagaimanapun hospital lain seperti di Hospital Jasin dan Alor Gajah turut dipertingkatkan fasiliti bagi merawat kes-kes COVID-19.

“Begitu juga hospital-hospital swasta kita akan mula menghantar pesakit COVID-19 untuk diberikan rawatan.

Semalam Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali memberitahu media penangguhan pembukaan Hospital Medan berikutan segala aset ATM telah habis digunakan untuk keperluan negeri Selangor paling kritikal dibadai COVID-19 ketika ini.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

547
Kongsi :
Previous post PKPD di enam lokaliti Sabah, dua di Sarawak – TPM
Next post Berpidato pupuk penghayatan Rukun Negara
Ubah saiz-+=