Tapak parkir Hospital Melaka dijadikan Hospital Medan ATM

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 28 Julai – Tapak parkir Hospital Melaka (HM) akan dijadikan sebagai Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu diputuskan susulan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan Hospital Medan ATM di Labuan akan ditutup dan dipindahkan ke negeri ini.

Ia berikutan Labuan adalah Wilayah Persekutuan pertama di Malaysia
mencapai sasaran imuniti kelompok apabila 80 peratus penduduknya berusia 18 tahun dan ke atas telah melengkapkan dua dos vaksin.

SULAIMAN.

“Kawasan parkir yang terletak berhampiran dengan Masjid Al-Azim dijadikan hospital medan dan boleh menampung kapasiti sekurang-kurangnya 100 pesakit.

“Pelbagai fasiliti termasuk tenaga kerja sudah tersedia manakala bekalan elektrik diambil daripada Masjid Al-Azim,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan secara norma baharu Kempen Vax & Win anjuran NCT Alliance Berhad di Bilik Mesyuarat Tun Perak MMKN di Kompleks Seri Negeri, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan ribuan terima kasih atas perpindahan itu sekali gus mampu mengatasi kesesakan pesakit COVID-19 di HM.

“Kerja-kerja untuk memindahkan barang (aset ATM) itu saya ingat ambil sedikit masa dan sekiranya perpindahan itu menggunakan kemudahan kapal terbang, kemungkinan akan dilaksanakan minggu ini juga.

“Jadi saya minta Datuk Rahmad nanti ‘please follow up’… pastikan yang disebut di Dewan Rakyat semalam, ianya dilaksanakan.
“Kalau dah ada Hospital Medan, ia dapat menampung pesakit bukan COVID-19,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, sebanyak 10 unit rawatan rapi (ICU) Modular di HM telah dibina dan berfungsi sepenuhnya.

Katanya, Hospital Medan ATM di Wilayah Persekutuan Labuan ditutup dan segala kelengkapannya dibawa ke Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

530
Kongsi :
Previous post ‘Vaksinasi secara ‘walk-in’ hanya bawa kad pengenalan saja’
Next post Stadium Hang Jebat dijadikan CAC
Ubah saiz-+=