Tapak UNESCO Banda Hilir dijangka jadi kawasan latihan dan persembahan kebudayaan

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BANDA HILIR 26 November – Tapak kawasan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Banda Hilir dicadang dijadikan sebagai kawasan persembahan dan latihan kebudayaan.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, langkah itu dicadangkan supaya memartabatkan warisan tidak ketara (intangibe heritage) seperti tarian Dondang Sayang di negeri ini.

Menurutnya, langkah itu sekali gus menambahkan kemeriahan dan daya sambutan kedatangan pelancong ke kawasan Zon Bebas Kenderaan yang dilaksanakan di kawasan tapak UNESCO.

“Saya dan Institut Warisan Melaka (INSWA) melihat ada beberapa bakat golongan yang boleh diketengahkan dan kita akan pilih pelapis kebudayaan ini untuk kita letakkan mereka untuk berlatih dan melaksanakan persembahan kebudayaan di kawasan ini.

“Kita akan ketengahkan bakat yang ada malah Kerajaan Negeri turut akan memilih mana mana organisasi yang berminat untuk usaha ini.

“Langkah ini sekali gus mampu memartabatkan seni budaya warisan negeri Melaka dan mempromosi produk-produk warisan negeri kepada pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 diadakan di Pekarangan Muzium Rakyat, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni  dan Budaya (MOTAC) Melaka, Yeow Chin Chai; Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias dan Pengurus Besar INSWA, Abdul Malek Bador.

Terdahulu, program diadakan itu telah disertai seramai 279 peserta daripada 30 kumpulan seluruh negara seperti Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor.

Pertandingan diadakan membabitkan kategori vokal dan tarian disertai oleh peserta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Kebangsaan (SK) dan penyertaan Terbuka.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi memastikan hasrat Dondang Sayang kekal diiktiraf sebagai ‘Intangible Heritage’ oleh UNESCO pelbagai program dan pertandingan membabitkan warisan itu akan dianjurkan di negeri ini sempena TMM2024.

Malah ujarnya, penganjuran program itu juga mampu membuka lebih banyak penyertaan dari luar Melaka.

“Kita akan perbanyakkan penganjuran seperti ini untuk memartabatkan seni tari ini agar ada pelapis pada masa hadapan dengan memperbanyakkan lagi penyertaan daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO)

“Kita harap akan lebih banyak penglibatan daripada luar Melaka kerana kita mahu ‘jual’ identiti Dondang Sayang yang bukan sahaja menggambarkan imej Melaka tetapi sebagai identiti warisan dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3794
Kongsi :
Previous post Hospital Melaka kesan Nur Azrinda dakwa enggan terima pesakit dari Johor
Next post 70 acara kebangsaan dan antarabangsa warnai TMM2024
Ubah saiz-+=