Hospital Melaka kesan Nur Azrinda dakwa enggan terima pesakit dari Johor

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BUKIT PALAH 26 November – Hospital Melaka mengesan pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Nur Azrinda bagi mendapatkan gambaran sebenar dakwaannya berhubung keengganan hospital terbabit merawat pesakit yang bukan berasal dari negeri ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, merujuk kepada paparan pemilik akaun berkenaan di laman Facebook Anak Johor serta perkongsian di aplikasi Tik Tok pada 24 November lalu, pemilik akaun berkenaan mendakwa Hospital Melaka enggan menerima pesakit untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan kerana bukan berasal dari negeri ini.

Katanya, susulan dakwaan menerusi laman media sosial itu, pihak hospital menghubungi pemilik akaun tersebut bagi mendapatkan maklum balas lanjut berhubung kejadian ditularkan.

“Hospital Melaka telah cuba menghubungi pemilik akaun Facebook tersebut pada Jumaat lalu pada jam 12.26 tengah hari bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku.

“Namun, pihak Hospital Melaka masih tidak menerima sebarang respon balas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata hospital berkenaan adalah satu-satunya hospital kerajaan rujukan berpakar di Melaka dan semua premis kesihatan kerajaan di negeri ini mengamalkan ‘no wrong door policy’ termasuk menerima semua pesakit warga asing.

“Pada masa ini, hospital tersebut menerima pelbagai rujukan pesakit tidak mengira dari dalam atau luar Negeri Melaka termasuk rawatan kecemasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

“Khidmat rawatan pesakit luar di klinik-klinik pakar juga boleh diperoleh melalui rujukan daripada klinik kesihatan dan fasiliti kesihatan swasta selain mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan di klinik kesihatan di negeri ini.

“Pelanggan boleh membuat temujanji dengan mengakses kepada aplikasi MySejahtera dan memilih slot temujanji yang disediakan,” katanya.

Justeru, Dr Rusdi berkata orang ramai dipohon tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Dalam laman Facebook Anak Johor yang dimuat naik pada Jumaat lalu, pemilik akaun menulis “kurang ajar Hospital Melaka ni.. dia tgk tempat kita Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu.. dia terus ckp tak terima untuk buat rawatan dan medical check up di sini….”

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2836
Kongsi :
Previous post Karnival Pendidikan dan Kerjaya TVET tawar lebih 900 peluang pekerjaan
Next post Tapak UNESCO Banda Hilir dijangka jadi kawasan latihan dan persembahan kebudayaan
Ubah saiz-+=