
TAPEM BANTU PELAJAR TAHFIZ MELAKA DUDUKI SPM
KUALA LINGGI 2 Mei – Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) membantu pelajar tahfiz menggengam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi Program Tahfiz Bestari.
Program yang dianjurkan buat kali ketiga oleh TAPEM itu adalah bertujuan untuk memberi bantuan dermasiswa kepada pelajar-pelajar maahad tahfiz untuk menduduki peperiksaan SPM melalui UNIMEL tahun ini.
Pengurus Besar TAPEM, Abdul Aziz Baba berkata, untuk tahun ini, seramai 23 pelajar telah terpilih sebagai penerima bantuan dermasiswa berkenaan dalam sesi temuduga yang diadakan di Masjid Al-Ilmi, Universiti Islam Melaka (UNIMEL), hari ini.
Katanya, sesi temuduga tersebut memberi lebih penekanan kepada persediaan pelajar untuk menghadapi SPM, selain memberi kesedaran kepada pelajar mengenai pentingnya menduduki SPM pada masa kini.
“Bantuan ini bukan sahaja memudahkan pelajar untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dan bekerja pada masa akan datang, malah ia turut menyediakan kediaman yang selesa di UNIMEL serta tenaga pengajar yang dibawa khas bagi mengajar mereka sepanjang program.
“Pemberian dermasiswa ini turut diharapkan dapat membantu mereka sebagai pelajar untuk fokus kepada SPM dan meraih keputusan yang cemerlang,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abdul Aziz memaklumkan dermasiswa itu memberi tumpuan kepada pelajar tahfiz yang tergolong dalam keluarga B40.
Jelas beliau, bagi pelajar B40 pembiayaan penuh dengan peruntukan RM6,000 seorang akan diberikan, namun bagi pelajar bukan dalam ketegori B40 pembiayaan akan diberi mengikut pendapatan keluarga.
Untuk rekod, Program Tahfiz Bistari TAPEM akan berlangsung selama 10 bulan dan terbuka kepada pelajar tahfiz berumur sekurang-kurangnya 17 tahun yang telah menghafal 10 juzuk al-Quran.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.