Tarik balik sijil perakuan bomba jika tak penuhi syarat

Masa Membaca:56 Saat

BUKIT KATIL 16 Februari – Sijil Perakuan Bomba (FC) dikeluarkan boleh ditarik balik jika premis berkenaan didapati gagal memenuhi syarat yang ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Timbalan Pengarah (JBPM) Negeri Melaka, R. Iswandy R Hassan berkata, FC adalah satu piawaian yang amat penting dalam menjamin keselamatan penghuni atau pekerja di sesebuah premis.

“Setakat ini bagi Negeri Melaka 330 premis milik kerajaan dan swasta memiliki FC, jumlah ini meningkat setiap tahun. Kami di JBPM akan melaksanakan penguatkuasaan tahunan bagi memastikan premis berkenaan memenuhi kriteria ditetapkan.

“Antara sebab FC ditarik adalah sistem keselamatan kebakaran tidak mengikut piawaian, malah perkara ini juga boleh dirujuk ke mahkamah mengikut peruntukan undang-undang yang ada,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tahunan JBPM Melaka 2024 di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat Februari 2024 tiga pemilik premis dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan denda keseluruhan berjumlah RM15,000 kerana gagal mematuhi kriteria FC yang ditetapkan JBPM.

“Selain denda diputuskan mahkamah pemilik premis juga perlu membayar RM100 setiap hari selagi gagal mematuhi kriteria FC sudah ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

354
Kongsi :
Previous post Tabung bantu Palestin akan diperluaskan
Next post Teroka 21 muzium secara percuma 20 Februari ini
Ubah saiz-+=