Tarik minat anak Melaka sertai Askar Wataniah – KM

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 8 Jan – Kerajaan negeri akan bekerjasama erat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha menarik minat anak watan Melaka menyertai Askar Wataniah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, usaha itu penting bagi menerapkan kesedaran mengenai pentingnya menjaga keselamatan negara.

“Saya percaya, melalui usaha murni ini, kesedaran terhadap keselamatan negara akan dapat kita terapkan kepada generasi muda ini dalam membentuk disiplin dan tingkah laku mereka.

“Saya juga amat mengalu-alukan komitmen daripada kakitangan awam untuk menyertai organisasi Askar Wataniah.

“Penyertaan daripada setiap lapisan rakyat yang berpengetahuan dan berkebolehan ini dapat menyumbang ke arah pembangunan Askar Wataniah di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook selepas menyertai Majlis Sarapan Pagi bersama Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Melaka di Dewan Sri Beruang, Rejimen 514 Askar Wataniah (AW), pagi ini.

Hadir sama, Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima 1 Briged Brigedier Jeneral Mohd Saifulisham Baharun, Komander Artileri Divisyen 3 Divisyen Brigedier Jeneral Datuk Noor Sazali Puteh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman dan Pegawai Daerah Jasin Rahizi Ranom.

Dalam pada itu, Sulaiman turut merakamkan penghargaan di atas pengorbanan dan khidmat bakti ATM yang sentiasa di depan dalam menghulur bantuan khususnya dalam pengurusan pandemik COVID-19 dan bencana alam seperti banjir yang berlaku baru-baru ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2324
Kongsi :
Previous post Malaysia hampiri 100 peratus populasi dewasa divaksin
Next post KKM kesan tiga produk kosmetik beracun
Ubah saiz-+=