Tauliah dan iktiraf JP – Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 3 Nov. – Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mahu kerajaan negeri mentauliah dan mengiktiraf Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka (MJPNM).

Katanya, peranan dan jasa yang dimainkan persatuan ini bukan sedikit, bahkan sebelumnya, Jaksa Pendamai (JP) turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau lagi kegemilangan JP mula mengalami sekatan akibat salah faham dan tindakan beberapa pemimpin terdahulu yang tidak membuat keputusan rasional hingga akhirnya merugikan semua pihak.

” Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka tahun 2010 pernah memutuskan agar perkhidmatan JP diwujudkan di setiap kompleks Japerun seluruh Negeri Melaka memandangkan ahli-ahli JP pada masa itu telah melaksanakan peranan dengan baik dan perkhidmatan yang sangat dibanggakan.

“Bagaimanapun kemelut yang dialami JP sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga diharap dapat ditamatkan memandangkan kerajaan pemerintah hari ini juga turut menjalin kerjasama dengan JP khususnya dalam menjaga kebajikan rakyat dan masyarakat.

“Sejujurnya saya selaku ahli JP juga menzahirkan perasaan bangga dengan pencapaian-pencapaian JP sepanjang sesi lepas atas usaha dan kerja keras barisan ahli-ahlinya,” katanya.

Rauf berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agong MJPNM kali ke -40,
baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden MJPNM Amir Hamzah Abd Aziz, Timbalan Presiden MJPNM Syed Azmi Ahmad dan mantan Presidennya Datuk Ab. Rahim Abu.

Kata beliau lagi, berbagai aktiviti telah dilaksanakan dan ini membuktikan bahawa MJPNM merupakan pertubuhan yang sentiasa aktif dan berjaya melaksanakan program-program yang berimpak tinggi.

“Selain itu, saya juga berharap ada inisiatif yang lebih baik dengan pelaksanaan pelbagai program dengan komitmen yang berterusan daripada jawatankuasa baharu agar dijadikan garis panduan yang berguna kepada semua.

“Selain itu, program-program yang bakal dilaksanakan juga diharap dapat dijadikan satu platform bagi menghubungkan dan merapatkan silaturrahim antara satu sama lain, ” katanya.

 

Views:

1180
Kongsi :
Previous post Semua acara sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan dibatalkan
Next post Usul bantah kenyataan Presiden Perancis dibincang dalam kamar khas
Ubah saiz-+=