Semua acara sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan dibatalkan

Masa Membaca:56 Saat

KOTA BHARU 3 Nov. – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah memperkenankan supaya semua acara sambutan Perayaan Hari Keputeraan Baginda pada tahun ini dibatalkan berikutan kes jangkitan COVID-19 yang masih lagi meningkat.

Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Nazran Muhammad dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pembatalan itu termasuklah Istiadat Meletak Kerja, Istiadat Pemeriksaan Perbarisan dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat, Surat Kepujian dan Pelantikan Jaksa Pendamai.

“Baginda juga turut menzahirkan rasa dukacita kerana tidak dapat bersama-sama rakyat bagi menyambut Perayaan Hari Keputeraan KDYMM Sultan Muhammad V seperti tahun-tahun lepas,” katanya.

Nazran berkata sungguhpun begitu Baginda mengharapkan supaya semua rakyat agar sentiasa prihatin terhadap tanggungjawab dalam mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan dan menurut segala Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi sama-sama membantu memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikawal dan diputuskan.

Katanya Baginda sentiasa mendoakan kehadrat Allah SWT supaya penularan COVID-19 ini dapat dikawal dan pulih kembali seperti sedia kala.

Beliau berkata Baginda mengharapkan seluruh rakyat sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT ketika menghadapi musibah ini.

Cuti sempena Perayaan Ulangtahun Keputeraan Sultan Muhammad V Yang Ke-51 adalah pada 11 dan 12 Nov ini.

— BERNAMA

Views:

1891
Kongsi :
Previous post KSM adakan pertemuan dengan pengurusan Malindo Air
Next post Tauliah dan iktiraf JP – Rauf
Ubah saiz-+=