Tekan butang ‘suka’, pelajar rugi lebih RM12,000

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 8 Jun – Seorang pelajar lelaki berusia 23 tahun kerugian lebih RM12,000 selepas terjerat dengan tawaran menjana pendapatan lumayan oleh sindiket penipuan atas talian yang diiklankan menerusi laman sosial, awal bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka Superintendan E Sundra Rajan berkata, pelajar berkenaan melayari laman Facebook dan terlihat iklan peluang pekerjaan ditawarkan menerusi aplikasi Ezjob pada 3 Mei lalu.

Katanya, tertarik dengan tawaran diuar-uarkan, mangsa bertindak menghubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mangsa kemudiannya diminta untuk melakukan 60 tugas kerja yang memerlukannya menekan butang ‘like’ video dan menonton iklan.

“Hasil melakukan tugasan tersebut, mangsa dimaklumkan berjaya meraih pendapatan berjumlah RM17,290,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Sundra Rajan, bagi mendapatkan bayaran pendapatan itu, mangsa dikehendaki membuat bayaran terlebih dahulu.

“Mangsa bersetuju untuk membuat bayaran itu sebelum melakukan lima transaksi pembayaran ke dalam akaun diberikan suspek berjumlah RM12,810 pada 4 Mei lalu.

“Selepas memindahkan wang berkenaan, suspek memberitahu wang itu masih belum mencukupi bagi menebus pendapatan dijana mangsa sebelum mengarahkannya membuat tambahan pembayaran,” katanya.

Beliau berkata, menyedari dirinya ditipu, mangsa meminta suspek untuk memulangkan duitnya namun suspek gagal dihubungi.

Jelasnya, berikutan itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Merlimau Jumaat lalu bagi tindakan lanjut diambil terhadap kegiatan suspek.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa menggunakan wang simpanannya dan ahli keluarga untuk membuat pemindahan bayaran terbabit.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

725
Kongsi :
Previous post Peniaga kedai runcit lega tiada lagi ‘rak berkunci’
Next post Zoo Melaka & Night Safari belanja RM200,000 sebulan untuk makanan haiwan- Shadan
Ubah saiz-+=