Teks penuh KM Usul Terima Kasih Ucapan TYT Melaka ‘Mewajah Melaka Rumahku, Garis Akhir Yang Dituju’

Masa Membaca:24 Minit, 56 Saat

Dimulakan lafaz seafdal-afdal selawat,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia.

Yang Berhormat Datuk Seri Ab. Rauf Bin Yusoh, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka,

Yang Berhormat Datuk Seri Hasim Bin Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka,

Yang Berhormat Tuan Haji Adly Bin Zahari, Ketua Pembangkang,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Yang Berhormat Datuk Wira Timbalan Speaker,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri,

Saya bangun mencadangkan satu Usul yang berbunyi:

“Dewan dengan sukacitanya mengambil ketetapan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Melaka kerana sudi menyampaikan Ucapan Pembukaan di Dewan Undangan Negeri yang Mulia ini.”

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Izinkan saya mengawali ucapan ini, dengan memetik mafhum firman Allah Subhanahu Wa Taala, dalam surah Ali-Imran ayat 26-27 bahawa:

Katakanlah, Dia Tuhan yang memiliki segala kekuasaan. Dia berkuasa memberi keagungan. Dia mampu mencabut kemegahan. Dia Maha memuliakan, dan Dia berupaya menghina sesiapa jua yang Dia kehendaki. PadaNya Tuhan pemberi rezeki dan segala kebaikan, Dialah Allah yakni Tuhan, Maha mengetahui, baik yang nyata, mahupun yang tersembunyi.

  1. Menyebut tentang kebesaran dan kekuasaan ini, saya ingin merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan lafaz terima kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah,….

Kerana, berkenan melantik Tuan Yang Terutama, Tun Datuk Seri (Dr) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-7, pada tanggal 4 Jun 2020.

  1. Pada hemat patik, Tuanku ibarat cahaya bergemerlapan, menyuluh rakyat menyinari kehidupan.
  2. Sebagai junjungan kasih dan taat setia yang tidak berbelah bagi, patik sekalian rakyat Melaka, ingin merakamkan penghargaan, kepada Tuanku dalam serangkap pantun Melayu:

Ampun Tuanku Seri Paduka,

Merafak sembah dijunjung tinggi,

Semoga karar naungan takhta,

Berdoa patik setulus hati.

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Berkait itu, saya bersama seluruh perikatan kepimpinan dan rakyat Melaka, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan Tuan Yang Terutama, Tun Datuk Seri (Dr) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, yang selamat disempurnakan pada 05 Jun lalu, sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka.
  2. Sememangnya, pelantikan Tun telah menempa sejarah dan menjadi kebanggaan rakyat di negeri ini, kerana, inilah julung kalinya, Tuan Yang Terutama, adalah anak jati pertama negeri Melaka.
  3. Saya mendoakan, semoga Tuan Yang Terutama Tun dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah binti Haji Abdul Rahman serta seisi keluarga, dikurnia sihat sejahtera, berkat di bawah lindungan Tuhan. InsyaAllah.
  4. Kepada Tuan Yang Terutama Tun,

Padi berisi semakin bercambah,

Mulia akhlak baik budi pekerti,

Kami pimpinan merafak sembah,

Bertakhtalah Tun sebagai payung negeri.

  1. Tidak dilupakan, penghargaan juga kepada Tun Datuk Seri Utama Dr Mohd Khalil bin Yaakob, bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka sebelum ini, atas segala jasa dalam memayungi negeri Hang Tuah ini.
  2. Sehingga kini, Yang Berhormat Datuk Seri Speaker’ Sri Speaker, negeri Melaka bersejarah ini, telah mempunyai seramai 7 Tuan Yang Terutama, 12 orang Ketua Menteri dan lebih 55 Ahli Dewan Undangan Negeri.
  3. Kepada semua mereka yang banyak menabur jasa dan telah pergi mendahului kita, ‘mulut mengenang hati menyebut’, semoga Allah jua yang memberi balasan setimpal buat mereka. Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah dan bertafakur selama 1 minit.

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Hari ini, 21 Julai 2020, bersamaan 29 Zulkaedah 1441 Hijriyah, menjadi detik bersejarah, di mana takdir Allah menetapkan bahawa, sekali lagi, kita dapat berhimpun di Dewan yang mulia ini, bagi menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, sempena Pembukaan Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka bagi kali ke-14.
  2. Sesungguhnya, ini membuktikan bahawa, demokrasi masih subur dan tetap terpelihara, di bawah panji Kerajaan Perikatan Nasional Negeri Melaka.

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Kira-kira 71 hari yang lalu, tanggal 11 Mei 2020, yang jatuhnya pada hari Isnin, kita telah berjaya mengadakan Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri.
  2. Meskipun berlaku sedikit kekecohan berhubung dengan pelantikan Speaker tempohari, namun itu tidak seharusnya dijadikan isu kerana, semuanya berlaku masih dalam kerangka dan mengikut lunas undang-undang yang telah ditetapkan.
  3. Lebih penting, kini, kita sungguh bertuah kerana, sudah mempunyai Yang Berhormat Datuk Seri Speaker’ Sri Speaker yang baharu, bukan sahaja berpengalaman dalam banyak bidang, bahkan berpengetahuan luas, dalam ehwal pentadbiran negeri dan juga negara.
  4. Saya mewakili seluruh kepimpinan Kerajaan Melaka ingin mengucapkan setinggi syabas kepada, Yang Berhormat Datuk Seri Speaker’ Sri Ab Rauf Yusoh atas lantikan sebagai speaker Dewan Undangan negeri yang baharu bagi penggal ke-14 ini. Tahniah diucapkan!
  5. Lalu, dibacakan serangkap pantun, bagi menzahirkan penghargaan dan kasih penuh hormat saya, kepada Yang Berhormat Datuk Seri Speaker.

Yang bertakhta itulah Raja,

Yang disayangi pemimpin rakyat,

Tahniah YB Dato’ Sri Speaker,

Kukuh perikatan tonggak muafakat.

  1. Begitu juga, sekalung tahniah wajar diberikan kepada Yang Berhormat Datuk Wira Ghazale Muhamad yang turut dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri.
  2. Pastinya, segala pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki oleh Yang Berhormat Datuk Seri Speaker’ Sri Speaker dan YB Datuk Wira Timbalan Speaker, diyakini mampu menjunjung peraturan dan akauntabiliti dengan adil saksama, dalam mengangkat martabat dewan yang mulia ini, ke tahap yang lebih tinggi daripada sebelumnya. InsyaAllah.

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Dalam konteks nasional pula, Kerajaan Melaka menghargai usaha Kerajaan Persekutuan, dipimpin Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia.
  2. YAB Perdana Menteri, begitu mengutamakan kesejahteraan rakyat, apabila memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi antaranya, Pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan berjumlah RM260 bilion serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebanyak RM35 bilion.
  3. Tentunya, Kerajaan Melaka akan berganding erat dengan Persekutuan, dalam menjayakan inisiatif PENJANA ini, demi menjaga kebajikan rakyat, mengurangkan beban industri perusahaan kecil dan sederhana, selain membantu pelbagai sektor di negeri ini.
  4. Hinggakan, dalam hal kecekapan mengawal, Malaysia turut dijadikan contoh dan diiktiraf, sebagai antara negara yang paaaling berjaya di dunia, dalam menangani wabak COVID-19.

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker’ dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

  1. Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun, di atas ucapan perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka kali ke-14 semalam.
  2. Semestinya, kepercayaan yang diberikan oleh Tuan Yang Terutama Tun, atas pelantikan saya sebagai Ketua Menteri Melaka yang ke-12, bersama Ahli-ahli Yang Berhormat Perikatan Nasional, membuatkan kami semua berikrar, untuk terus bekerja gigih, demi kemakmuran negeri ini.
  3. Saya faham,… meskipun kami belum sempurna,… namun,… perkhidmatan terbaik untuk rakyat negeri Melaka, tetap kami utama dan sempurnakan!
  4. Menyentuh nasihat Tuan Yang Terutama Tun, tentang kepentingan kami saling bekerjasama dan bermuafakat pula, saya mengambil iktibar terhadap kekecohan yang berlaku pada Persidangan Dewan Pertama tempohari.
  5. Apa yang saya ingin tegaskan di sini bahawa,

KITA MUNGKIN BOLEH BERBEZA PANDANGAN,… TETAPI,… TIDAK MUSTAHIL, KITA JUGA MAMPU MENCARI PERSAMAAN!

KITA KURANGKAN ‘TITIK PERBEZAAN ATAU PERSENGKETAAN’ SESAMA KITA.

SEBALIKNYA, KITA SAMA-SAMA BERIKHTIAR, BAGI MENCARI JALAN, UNTUK MEMBINA, ‘TITIK-TITIK PERSAMAAN’, DEMI HALATUJU MELAKA YANG MAJU JAYA, NEGERI TERCINTA INI! 9

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Berhubung peri pentingnya hal membina sifat tolong menolong dan saling dokong-mendokongi antara sesama kita, bagai dimadah dalam Hikayat Malim Deman,

“Yang capek datang bertongkat, yang buta datang berpimpin, yang pekak leka bertanya, yang kecil terambin lintang, yang jarak tolak-tolakan dan yang pendek tinjau-meninjau.”.

  1. Apa pun,

Lendu permai di Masjid Tanah,

Tuju Rembia ke Pengkalan Batu,

Singgah Paya Rumput terus ke Telok Mas,

Rakyat bahagia di negeri bertuah,

Mewajah negeri agar lebih maju,

MELAKA RUMAHKU bersama kita hias, sama-sama kita perkemas.

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Menghimbau kembali sejarah lama, menurut Tun Seri Lanang, Melaka telah dibuka oleh Parameswara, selepas terjadinya peristiwa aneh, Pelanduk putih menendang haiwan buruannya.
  2. Tiada sesiapa menyangka dan percaya bahawa, Melaka yang asalnya sebuah kawasan terpencil, telah bertukar dan mula ditransformasi oleh Parameswara atau Sultan Iskandar Shah, menjadi empayar Kesultanan Melayu Melaka yang gilang-gemilang, sehingga diiktiraf sebagai pusat perdagangan paling maju lagi tersohor di dunia.

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Saya masih ingat lagi sewaktu mengambil alih tampuk kepimpinan negeri, pada 9 Mac 2020, kita berdepan dengan 3 cabaran besar iaitu kesihatan, ekonomi dan politik. “To me, this is very unprecedented!” (Dengan izin)
  2. Ramai orang Melaka risau ketika itu. Bimbang dengan pandemik COVID-19, mereka tak boleh keluar bekerja, ada yang hilang mata pencarian, aktiviti perniagaan dan sosial tidak dapat berjalan seperti biasa.
  3. Sampaikan, ada pengundi di DUN saya beri ingatan dalam loghat kampung, “Tokleman, den ni anak dah la ghamai, kocik-kocik pulak tu, apo-apo kono kek den, siapo nak tanggung mereko nanti. “Tolong Tok ya!” Saya jawab Ya! InsyaAllah! Kita akan selesaikan satu persatu.
  4. Kerajaan Melaka memandang serius isu ini. Kita telah melakukan segala usaha termasuk menggesa rakyat supaya membiasakan diri dengan “the new norms”, mematuhi SOP yang ditetapkan, memakai pelitup muka, guna hand sanitizer, patuhi penjarakkan sosial dan elakkan perhimpunan dalam skala besar.
  5. Selagi COVID-19 belum berakhir, kita akan putuskan rantaiannya, dengan hashtag, #MelakaMestiMenangCOVID19.
  6. Hasilnya, menurut Menteri Kanan Keselamatan, negeri pelancongan penuh sejarah ini, mencatatkan kadar pematuhan PKPB tertinggi pada 98 peratus, sekaligus menjadikan Melaka antara 3 negeri terbaik di seluruh Malaysia!
  7. Menariknya, setelah Melaka merekodkan sejumlah 258 kes jangkitan, dengan 251 kes sembuh dan jumlah kematian kekal 5 orang, akhirnya, mulai 5 Julai 2020, Melaka mencatat sejarah apabila kembali bebas daripada jangkitan COVID-19, lalu diisytihar sebagai Negeri Hijau atau #GreenState”.
  8. Meskipun begitu, kita maklum, terdapat 1 kes import selepas tarikh itu, namun pihak Kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya.

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Barangkali ramai yang bertanya, apa yang telah kita lakukan dalam tempoh 100 hari atau lebih tepat lagi 135 hari, sepanjang Kerajaan Perikatan Nasional Melaka memimpin negeri ini.
  2. Saya bersama sahabat-sahabat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dibantu para pegawai dan penjawat awam negeri Melaka, terus bertindak melaksanakan pelbagai inisiatif dan pengumuman penting, bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.
  3. Antara isu pertama yang kita selesaikan adalah masalah kekurangan bekalan air. Akibatnya, program Bekalan Air Berjadual, terpaksa dilaksanakan bermula dari 29 Januari 2020.
  4. Berkat doa daripada rakyat Melaka, selain kita berusaha untuk mengatasi isu ini, akhirnya pada 1 April 2020, kita berjaya menamatkan Program Bekalan Air Berjadual melibatkan 735,221 isi rumah.
  5. Laginya, paras Empangan Durian Tunggal pada 27 Jun 2020, mencatatkan bacaan 93%, jauh lebih baik berbanding pada tarikh sama 2019, di mana, jumlah takungan hanya 50 peratus.
  6. Malah, Kerajaan negeri juga telah merencana beberapa tindakan pantas, bersifat perancangan jangka pendek dan panjang, untuk kelangsungan bekalan air kepada rakyat di negeri Melaka terjamin seperti:

i). Meneruskan Projek Pembinaan Empangan Sungai Jerneh pada tahun semasa,

ii). Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Melaka, Tasik Biru,

iii). Melaksanakan Kajian Kemungkinan Pembinaan Empangan Pesisir Pantai (Coastal Reservoir) di Lembangan Sungai-sungai Negeri Melaka dan

47. Memohon peruntukan RMKe-12 bagi Projek Mitigasi Tasik Biru dan Sungai Kesang sebagai alternatif musim kemarau.

  1. Merujuk bacaan tersebut, saya yakin, kita tidak menghadapi masalah air, paling kurang pun, sampai awal tahun hadapan, InsyaAllah!
  2. Tidak terhenti setakat itu, sepanjang tempoh 9 Mac hingga 6 Jun 2020 sahaja, kita berjaya mengurangkan hutang Kerajaan Negeri Melaka kepada Kerajaan Persekutuan, berjumlah RM162.88 juta.

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Jika ingin diceritakan satu persatu sepanjang tempoh tersebut, memang banyak. Sebahagiannya saya dah sebut pun sewaktu ucapan amanat Penjawat Awam pada 1 Julai lalu. Cukuplah saya nyatakan beberapa inisiatif antaranya:

i). Menangguhkan denda lewat cukai tanah dan cukai strata.

ii). Menangguhkan bayaran balik pinjaman pendidikan TAPEM melibatkan 7,400 orang peminjam.

iii). Mengurangkan sewaan penyewa rumah kos rendah dan rumah pangsa milik Lembaga Perumahan Melaka melibatkan 1,471 penyewa.

iv).  Menangguhkan bayaran bil air pada bulan Mac 2020 melibatkan 260,000 isi rumah.

v).  Mengecualikan sewa tapak dan bayaran lesen penjaja dan peniaga kecil.

vi). Memberi peruntukan khas kepada frontliners dari KKM, merangkumi elaun makan petugas dan pembelian peralatan asas.

vii). Memberi bantuan Insentif Frontliner PBT melibatkan 580 petugas.

 

  1. Seterusnya apa lagi?
  •  Mengurangkan bayaran bil air bulanan penyewa dan pemilik rumah kos rendah melibatkan 3,974 isi rumah.
  •  Memberi Bantuan Kit Makanan Asas melibatkan 36,400 orang penerima.
  • Melaksanakan projek Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Negeri 2020 bernilai RM10 juta melibatkan 83 projek dan 9 agensi.
  • Membenarkan Operasi e-Bazar@Melaka.
  • Menawarkan Khidmat Nasihat dan Rundingan Syariah percuma secara dalam talian.
  • Membenarkan penjaja dan peniaga kecil berniaga di kawasan depan rumah sepanjang tempoh PKPB.
  • Mewujudkan aplikasi pelancongan Melaka eXcess.
  • Memberi bantuan tunai dan bantuan bukan tunai kepada golongan sasar dan B40 yang terjejas akibat pandemik COVID-19 ini. Keseluruhan inisiatif ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM28.17 juta.

 

  1. Dipendekkan kata, mana yang tidak disebut, bolehlah rujuk kepada risalah pencapaian 100 hari Kerajaan Negeri Melaka.

DASAR MENUJU MELAKAKU MAJU JAYA

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  • Berhubung halatuju masa depan pula, sepintas lalu, Melaka mula diisytihar menjadi negeri maju pada tahun 2010, menggunakan indikator OECD.
  • Kemudian diperkenalkan pula “Negeri Bandar” mengguna pakai petunjuk MURNInet, KPKT.
  • Selepas itu, dikemukakan pula “Negeri Teknologi Hijau”, mengguna pakai indikator bandaraya hijau, model bandaraya Pasadena, di California dan konsep smart city.
  • Sebagai kesinambungan, pada kepimpinan ini, kita menggunakan indikator baharu iaitu, “MATLAMAT PEMBANGUNAN LESTARI” atau SUSTAINABLE DEVELOPMENT GOALS atau SDG, yang digunapakai oleh semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
  • SDG ini merangkumi pembangunan ekonomi, selalunya digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dengan penggunaan sumber yang bijaksana, selain penekanan kepada pemuliharaan terhadap alam sekitar.
  • Ada 17 matlamat pembangunan lestari atau SDG yang menjadi panduan untuk dilaksanakan Negeri Melaka antaranya

    Kemiskinan Tegar & Kelaparan Sifar

  • Kesihatan & Kesejahteraan
  • Pendidikan
  • Pekerjaan dan Pembangunan Ekonomi
  • Infrastruktur

Memelihara dan memulihara kawasan lautan dan daratan

 

MELAKAKU MAJU JAYA RAKYAT BAHAGIA MENGGAMIT DUNIA

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Selari dengan SGD itu tadi, seperti yang telah saya sebut dalam amanat Penjawat Awam tempohari, visi negeri Melaka yang baharu adalah “MENUJU NEGERI LESTARI”.
  2. Manakala misi baharu negeri Melaka pula adalah bersandarkan kepada perkataan T.E.R.A.S.. atau TERAS.

T untuk TEKNOLOGI – Memperluaskan inisiatif pintar dan memperkasa data dalam agenda pembangunan negeri.

E untuk ENTREPRENEURSHIP – Membangunkan dan menyokong ekonomi rakyat tempatan menjadi lebih berdaya maju.

R untuk REVOLUSI INDUSTRI DAN EKONOMI – Merancakkan negeri Melaka sebagai sebuah destinasi pelaburan berkonsepkan agro-industri, biotoknologi, Industri 4.0, perusahaan industri digital dan industri perkhidmatan maritim.

A untuk ANTARABANGSA – Memperhebat industri pelancongan dan industri pendidikan agar lebih berkualiti, unik serta bertaraf dunia.

S untuk SEJAHTERA – Menghidupkan persekitaran negeri terbersih, terindah, lestari, selamat, selesa, semangat dan nilai kekitaan (sense of belonging) serta ekonomi, yakni taraf hidup rakyat yang berkualiti, 16

sejahtera dan lebih baik untuk didiami.

  1. Bagi PEMBOLEH DAYA atau Enabler pula ada enam.

Pertama: Keterangkuman dan Kesalinghubungan

Kedua: Kemampanan Ekonomi

Ketiga: Kecanggihan Teknologi Hijau, Pintar dan Pendigitalan

Keempat: Keberdayaan Modal Insan

Kelima: Keutuhan Budaya dan Warisan

Keenam: Keihsanan dan Integriti

  1. Bagi slogan rasmi negeri Melaka yang baharu dalam kerangka besar “Melaka Rumahku” adalah:

MELAKAKU MAJU JAYA,

RAKYAT BAHAGIA,

MENGGAMIT DUNIA

  1. MELAKAKU MAJU JAYA bermaksud; menzahirkan rasa sense of belonging, Melaka yang terus kekal maju ke hadapan, makmur, berdaya saing, berjati diri, mempunyai kesemua ramuan kejayaan, selain menekankan kerohanian, sepertimana disebut surah As-Saba’ ayat 15, sebagai “Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbun Ghafur”, yakni “negeri makmur Tuhan berkati”.
  2. Ia juga sebuah Kerajaan kontemporari, futuristik, responsif kepada perubahan dan kemajuan teknologi dunia, khususnya untuk mendepani cabaran Industri 4.0 (IR 4.0) dan Ekonomi Digital (digital economy) serta masyarakat 5.0 (society 5.0).
  3. RAKYAT BAHAGIA pula bermula daripada usaha sebuah Kerajaan negeri yang berjiwa rakyat, prihatin, mendengar keluhan dan merasai denyut nadi rakyat, supaya masyarakat berbilang kaum dan agama terdiri

daripada Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Portugis, Chetti dan sebagainya dapat hidup bahagia.

  1. Ia juga cerminan rakyat yang benar-benar mencapai hasanah dan Al-falah, yakni kecemerlangan dan keseimbangan duniawi serta ukhrawi sebagaimana dalam surah Al-Baqarah ayat 201.
  2. Terkini, dalam laporan indeks Kebahagiaan, oleh MURNInets Kebangsaan, telah merekodkan bahawa, 2 bandar di negeri ini iaitu Bandar Melaka dan Jasin telah tersenarai dalam 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia.
  3. Tambah membanggakan, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, bukan sahaja sudah mencapai status Bandar Bahagia, bahkan lebih daripada itu, diiktiraf oleh MURNInets daripada 106 PBT sebagai, Bandar nombor waahid (1) Paling Mampan di Malaysia dengan markah 97 peratus. Syabas diucapkan!
  4. Lantas itu, saya mahukan pada tahun ini juga, keempat-empat PBT, termasuk Majlis Perbandaran Alor Gajah, akan mencapai status tersebut. Barulah Melaka, layak menjadi, negeri, yang paling bahagia di Malaysia.

PELANCONGAN

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Selaras dengan pengisytiharan Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO, frasa MENGGAMIT DUNIA kerana kita mahu mengembalikan semula kegemilangan Melaka sebagai pusat pelancongan, pusat perdagangan, pusat maritim dan pusat pendidikan terkemuka seantero dunia.
  2. Namun, akibat wabak COVID-19, Kerajaan Negeri telah meminda sasaran kepada 5.6 juta pelancong pada tahun ini. Bagi memulihkan industri pelancongan yang terjejas, Kerajaan negeri telah melakukan pelbagai usaha antaranya:

(i) Merancakkan Industri Pelancongan Domestik

(ii) Memperkukuhkan Pasaran Antarabangsa Selektif

(iii) Meluaskan Capaian Promosi Destinasi Melaka Berkonsepkan Digital

  1. Kita juga telah merancang beberapa prakarsa bersifat jangka masa pendek dan sederhana, bermula dari 18 Mac 2020 sehingga hujung Disember 2020:

(i) Mewujudkan tagline baharu iaitu “Melaka Safe Haven” dan Melaka Is The Place To Be” bagi menggambarkan Melaka sebuah negeri yang selamat (safe) dan bersih (hygene) untuk dikunjungi sebagai, destinasi percutian pilihan;

(ii) Mengadakan program latihan yang intensif untuk semua penggiat industri pelancongan negeri Melaka bagi meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan sedia ada, dan Norma Baharu (New Norm);

(iii) Menaiktaraf produk-produk pelancongan, kemudahan awam dan tahap keselamatan serta kebersihan di kawasan pelancongan sedia ada;

(iv) Mengenalpasti produk-produk pelancongan baharu yang berpotensi untuk dikomersialkan dengan tumpuan di kawasan luar bandar; dan

(v) Memperhebatkan promosi Melaka melalui Kempen “Dream Now Travel Later (DNTL)” dengan menggunapakai platform digital “Melaka Excess”.

  1. Buktinya, kita dapat saksikan, tempahan bilik hotel hingga Disember 2020, meningkat hampir 12,000. Kadar penginapan bilik-bilik hotel pula telah mencapai purata lebih 70 peratus.
  2. Manakala, Menara Taming Sari pula, merekodkan kira-kira lebih 96,227 pengunjung sejak ia dibuka semula.
  3. Waima Menteri-Menteri Persekutuan dan Negeri lain pun telah berkunjung dalam tempoh seminggu dua ini. Antaranya Menteri Besar Perak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (ekonomi), Menteri Alam Sekitar dan Air, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
  4. Dan esok pula, InsyaAllah saya bertemu dengan Menteri Kewangan Malaysia. Doa-doalah ada berita baik untuk rakyat dan negeri Melaka.
  5. Di sisi lain, Kerajaan Melaka juga menjunjung tinggi institusi Raja-Raja. Kita bersyukur kerana dalam waktu terdekat ini kita akan menerima keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor ke bumi Melaka.
  6. Pada hujung tahun ini pula, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dijangka akan mencemar duli berangkat ke negeri Melaka tanah bersejarah ini.

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Bagi memajukan sektor iktisad, kita telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Melaka (MTEN Melaka) pada 1 April 2020, dianggotai oleh pakar-pakar bidang, bagi merencana Pelan Pemulihan Ekonomi dan Pelan Halatuju Pasca COVID-19.
  2. Kita juga dalam persediaan menyiapkan Pelan Pembangunan Hala Tuju Melaka Lestari, yang bersifat jangka pendek, jangka sederhana dan jangka Panjang.
  3. Sebagai persediaan RMKe-12, Kerajaan negeri telah menyenaraikan 963 projek baharu dan 27 projek sambung melibatkan semua agensi di negeri Melaka, yang melibatkan kos projek berjumlah RM13.8 bilion.
  4. Sebenarnya, banyak lagi yang sedang kita rancang dan perincikan. Kita ada bengkel, program, seminar, sesi percambahan fikiran, demi menyelesaikan permasalahan yang sedang dihadapi oleh rakyat, seperti petani, pekebun kecil, peniaga, penarik beca, penternak, nelayan, pekerja industri dan seumpamanya.

PELABURAN

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Bagi merancakkan ekonomi, dengan sasaran purata RM5 bilion nilai pelaburan setiap tahun, kerajaan negeri akan terus mempromosi Melaka sebagai destinasi pelaburan berkonsepkan eko-industri, teknologi IR 4.0, perusahaan industri digital dan industri maritim.
  2. Usaha untuk menarik pelabur-pelabur dari negara-negara seperti Jepun, Korea, China, US, Jerman dan Singapura akan terus dilakukan dengan mengunapakai teknologi mereka, selaras dengan kemajuan Industri 4.0, dan usaha menjadikan Melaka sebagai hub industri berteknologi tinggi yang kompetitif.
  3. Saya yakin, pertambahan nilai pelaburan akan menjadi indikator kepada perkembangan sektor perindustrian, sekaligus memberi impak positif, kepada pertambahan peluang pekerjaan, meningkatkan rantaian ekonomi, serta merancakkan pembangunan sedia ada.
  4. Terbaru pula, Kerajaan Negeri Melaka bersetuju agar kajian dibuat mengenai cadangan YAB Menteri Besar Perak, untuk Putra Specialist Hospital melebarkan sayap perniagaannya ke Negeri Perak.

EKONOMI

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Sektor baharu yang berpotensi merancakkan ekonomi negeri adalah melalui dua buah pelabuhan:

Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP), yang berfokus kepada perkhidmatan industri minyak dan gas

Pelabuhan Tanjung Bruas yang akan diperluas dan dijadikan pelabuhan kontena

 International Cruise Tourism

  1. Kini, kita sedang berusaha untuk membangunkan Pulau Besar sebagai Pulau Bebas Cukai dan pembangunan untuk aktiviti laut serta pantai.
  2. Bagi tujuan itu, Kerajaan negeri telah memohon peruntukan di bawah RMKe-12, berjumlah RM73.5 juta.
  3. Berkait demikian, Kerajaan negeri berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah bersetuju menyambung semula pelaksaaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi atau High Speed Rail (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura, di mana Ayer Keroh Melaka akan menjadi salah satu stesen hentiannya.
  4. Di sudut lain pula, Kerajaan Melaka mengucapkan syabas kepada Barisan Nasional Pahang, melalui YB Mohd Sharim Md Zain, kerana telah berjaya mempertahankan kerusi DUN Chini, dalam Pilihan Raya Kecil pada 4 Julai 2020 lalu, dengan majoriti lebih besar iaitu 12,650 undi.

PERTANIAN

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Pertanian adalah sumber perniagaan dan benteng makanan negara. Justeru, Kerajaan negeri Melaka akan membangunkan projek penanaman menggunakan Teknologi IoT Pulau Gadong, yang dijangka dapat meningkatkan pengeluaran dan menjimatkan kos pekerja.
  2. Bagi swasta pula, satu projek Fertigasi IoT berkapasiti 20,000 polibeg (polybag) di Serkam sedang dibangunkan oleh Smart Venture Farm sebagai syarikat peneraju, selain 2 lagi projek Fertigasi IoT.
  3. Kerajaan Negeri juga menerima peruntukan Smart Farming Fertigasi berjumlah RM1.15 Juta, memanfaatkan 100 orang pengusaha fertigasi yang kecil atau besar.
  4. Di perspektif lain, Kerajaan Melaka bakal menganjurkan “Pesta Seribu Bunga” bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Bunga Kesidang si bunga Melaka,

Kembang mekar di Seri Bendahara,

Melaka bakal anjur Pesta Bunga,

Menarik pelancong menggamit dunia.

INISIATIF PINTAR DAN PEMERKASAAN DATA DALAM AGENDA PEMBANGUNAN NEGERI

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Data adalah penting bagi membangunkan polisi dan perancangan strategik kerajaan untuk penguasaan masa hadapan. Untuk itu, centralized big data platform bakal diwujudkan ke arah pendigitalan data di semua peringkat agensi.
  2. Institut Tun Perak melalui kolaborasi Strategik, akan membangunkan Pusat Pengkalan Data Raya (Big Data) Negeri Melaka bagi pembangunan Melaka Intelligence Centre.

MEMPERTINGGIKAN SYIAR ISLAM

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Kerajaan negeri komited dalam mempertinggi syiar Islam termasuk menjalinkan kerjasama dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri, untuk memantapkan lagi pelaksanaan Sekolah Gunasama Sekolah Rendah Agama – Sekolah Kebangsaan (SRA).
  2. Selain itu, bagi menyelesaikan isu taraf perjawatan guru-guru SRA JAIM yang masih bertaraf pekerja sambilan (PSH), kerajaan negeri akan terus berusaha supaya perjawatan guru-guru SRA JAIM yang layak kepada kontrak JAKIM, dinaiktaraf dengan peruntukan elaun guru KAFA sebanyak RM1,000 seorang.
  3. Bagi meningkatkan kutipan zakat di negeri Melaka, inisiatif baharu dilaksanakan antaranya:

(i) Menggunakan melalui aplikasi facebook, instagram dan twitter Zakat Melaka.

(ii) Menyediakan iKendiri, aplikasi layan diri 24 jam (self-service) di laman web rasmi Zakat Melaka.

(iii) Menjalinkan kerjasama di antara Zakat Melaka & Bank Muamalat melalui Skim EZ Zakat Muamalat.

PENDIDIKAN

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Pendidikan kunci kejayaan. Kerajaan Negeri Melaka bertekad akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada anak-anak Melaka, melalui TABUNG AMANAH PENDIDIKAN NEGERI MELAKA (TAPEM).
  2. Kita meneruskan sumbangan antaranya melalui:

Pembukaan SSPNi Kepada Kelahiran Melaka sebanyak RM50.

 Bantuan Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah

Pinjaman Wang Pengajian Tinggi, melibatkan peruntukan tahun semasa sebanyak hampir RM4 juta.

Bantuan IPT secara One Off dengan nilai tertinggi sebanyak RM1,000.00.

Dermasiswa Pelajar SPM, Tahfiz Bestari KUIM dan STAM

Dermasiswa Khas Pelajar Mesir, pengajian Islam dalam dan luar negara.

  1. Menjengah ke hadapan, bagi mempertingkatkan daya saing, Kerajaan Negeri Melaka akan menggabungkan kesemua IPT milik kerajaan negeri menjadi sebuah universiti penuh yang bakal dikenali sebagai Universiti Melaka atau UNIMEL.

PENDAPATAN GARIS KEMISKINAN NEGERI MELAKA

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Menyentuh tentang hal pendapatan garis kemiskinan yang disebut oleh Tuan Yang Terutama Tun, Kerajaan negeri mengambil maklum akan peningkatan angka daripada RM980 sebulan kepada RM2,208 sebulan.
  2. Meskipun kadar kemiskinan mutlak di Melaka hanya 3.9 peratus lebih rendah berbanding kadar nasional, Kerajaan tetap melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan sasar, antaranya mengarahkan

semua sektor untuk mengambil sekurang-kurangnya 30% warga tempatan bekerja.

PERUMAHAN

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Bagi membantu rakyat Melaka memiliki rumah kediaman sendiri, Kerajaan negeri memperkenalkan dasar “Satu Keluarga Satu Rumah” dan Rumah Mampu Milik (RMM), khususnya kepada golongan B40, M40 dan belia.
  2. Untuk ini, sebanyak 30 peratus RMM perlu dibina sebelum pemaju dibenarkan untuk membina kira-kira 50 peratus jenis kediaman Rumah Kos Tinggi melebihi RM180,000.
  3. Antara Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Mampu Milik (RMM) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Melaka sehingga 1 Jun 2020 adalah:

Rumah Mampu Milik Penswastaan yang setakat ini sebanyak 1,869 unit telah siap dibina.

Perumahan Mampu Milik Jabatan dan Agensi Kerajaan, yang melibatkan sebanyak 432 unit sudah siap dibina.

Perumahan Penjawat Awam (PPA1M), di mana sebanyak 386 unit telah siap dibina.

  1. Secara keseluruhannya, sebanyak 4,742 unit rumah PPR dan RMM telah siap dibina.
  2. Malahan, melalui Melaka Finance House Berhad (MFH) juga, sebagai permulaan, kita telah memberi pinjaman Dana Hartanah Bumiputera kepada 15 orang penerima

yang layak, selain bakal diperluaskan kepada para usahawan mikro.

KEBAJIKAN

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Sebagai sebuah Kerajaan negeri yang mendengar denyut nadi dan mendahulukan kepentingan rakyat, pelbagai insentif disediakan demi meringankan beban yang ditanggung oleh masyarakat di negeri ini.
  2. Antaranya:

Meluluskan Bantuan Lampin Pakai Buang Dewasa berjumlah RM799,680 mulai bulan Jun 2020 hingga Disember 2020. Manfaat ini melibatkan 2,240 orang penerima di pelbagai DUN.

Memberi Bantuan Susu Formula kepada 361 penerima, terdiri daripada pesakit terlantar, pesakit OKU dan warga emas, berjumlah RM1.7 juta.

Meluluskan Program Pembangunan Belia yang berimpak tinggi berjumlah RM500,000.

Meneruskan parkir kenderaan percuma pada hari Isnin dan Selasa di kawasan pentadbiran PBT.

Memberi pelbagai bantuan kepada Kanak-Kanak, Orang Tua, Pekerja Cacat, Pesakit Terlantar, Bantuan Am, bantuan anak pelihara dan bantuan ELSB melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM 7.5 juta.

Meluluskan program Peningkatan Ekonomi dan Sosial negeri Melaka sebanyak RM250,000, meliputi Program Peningkatan Pendapatan dan Program Ibu Pengasih.

Ini melibatkan jumlah keseluruhan penerima sehingga Jun 2020 adalah seramai 24,285 orang.

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Masih ingatkah kita kisah Nek Sapiyah? “Alaa, yang tular satu Malaysia tu, cakap pekat loghat Melaka? Dia pesan ingatkan cucu-cucunya iaitu Dak Ayu Dak Senah dan Dak Sapik, supaya jangan “ngengayau” sewaktu PKP Covid-19 dulu!”
  2. “Saya dengau, lepas saya datang minum pagi ke warung Dak Ayu, bisnes Dak Ayu Dak Senah dah makin maju dah katanya. Saya harap lebih ramai lagi peniaga-peniaga kecil akan berjaya seperti Dak Ayu Dak Senah. Kerajaan negeri sentiasa menyokong dan membantu mana yang boleh, dalam mengembangkan perniagaan mereka”.

INFRASTRUKTUR

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Kerajaan negeri Melaka akan merancang dan menyediakan peruntukan untuk membaikpulih infrstruktur jalan raya dari tahun 2020 hingga 2021 seperti:

Membaiki 16 persimpangan di Lebuh Ayer Keroh dan Lebuh AMJ.

Menaik taraf Jalan 2 Lorong kepada 4 Lorong Dari Persimpangan Bachang Ke Persimpangan Batu Berendam.

Membina Jalan Pintas Baru Dari Persimpangan Jalan Alor Gajah Lama (Laluan

M17) ke Taman Murai Jaya di Pekan Durian Tunggal.

Menaik taraf Sistem Lampu Isyarat Pintar Bagi Mengatasi Kesesakan Lalu Lintas.

  1. Bagi projek baru RMKe-12 pula, Kerajaan Negeri telah memohon untuk menaik taraf dan membina jalan baharu 4 Lorong Persisiran Pantai dari Hatten City ke Semabok.
  2. Selanjutnya, membina Jalan Baharu Dan Menaiktaraf Jalan Dari Persimpangan Taman Perindustrian Bukit Rambai, Lebuh SPA (FT33) Ke Pelabuhan Tanjong Beruas.
  3. Manakala bagi projek-projek yang sedang dalam pembinaan jaringan jalanraya antaranya:

Menaiktaraf Jalan Kampung Paya Redan Melaka Tengah, Melaka

Membina Jalan Baru Dari Hutan Percha (M31) Ke Pekan Tebong (M13), Alor Gajah, Melaka.

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker,

  1. Berhubung tentang perjumpaan dengan rakyat, saya ingin memaklumkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita di pihak Kerajaan Perikatan Nasional, kita bukan seminggu sekali berjumpa rakyat atau rakyat datang berjumpa dengan kita, tetapi pendekatan kita ialah HARI-HARI KITA BERTEMU RAKYAT DAN KITA TURUN PADANG MENYANTUNI MEREKA!
  2. Sebagai contoh, saya dan sahabat-sahabat dalam PN, baru-baru ini telah turun di DUN Merlimau dan DUN Pantai Kundor untuk menyelami masalah-masalah para nelayan di sana. Di Merlimau misalnya, kita telah meluluskan pemasangan lampu limpah untuk memasuki kuala. Di Pantai Kundur pula saya mengarahkan LKIM dan JPS untuk selesaikan masalah hakisan pantai di Kawasan itu.
  3. “Saya dah beritahu semua ‘sahabat-sahabat’ saya “bahawa, program “walkabout” adalah rutin kita, kita akan “round” satu Melaka, bukan sekadar untuk berjumpa rakyat, tetapi yang lebih penting ialah, kita bantu selesaikan masalah mereka”. “That is what I strive for!, (Dengan izin).

PENUTUP

Yang Berhormat Datuk Seri Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat;

  1. Atas segalanya, saya berdoa dan berharap, agar apa yang bakal dibahaskan pada hari ini dan hari berikutnya, akan menghasilkan impak berkesan kepada rakyat serta peroleh keberkatan daripada Allah SWT dalam menjulang Melaka Rumahku yang Menggamit Dunia.
  2. Kerana itu, pada majlis amanat kepada para penjawat awam tempohari, saya memperkenalkan tonggak 5K iaitu Komunikasi, Kolaborasi, Koordinasi, Kompetensi dan Kongsi matlamat bersama, untuk dijadikan sebagai teras kita bersama bergerak ke hadapan.
  3. Lantaran itu, bagi menghargai segala pengorbanan dan penat lelah semua, khususnya dalam menangani cabaran COVID-19,…

Marilah, kita ucapkan terima kasih kepada semua frontliners negeri Melaka!

Dan semestinya kita rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat negeri Melaka, yang kini dianggarkan berjumlah 930,700 orang.

  1. Apapun, bagai diungkap pujangga Inggeris, “if you want to walk fast then walk alone, but if you want to walk far, then walk together”.
  2. Jika suatu ketika dahulu, Tome Pires dalam bukunya The Suma Oriental pernah mengungkapkan, dengan izin,

Whoever is lord of Malacca, has hand on the throat of Venice”,

Barang siapa yang menguasai Melaka, sesungguhnya dia juga boleh menguasai Venice.

  1. Lalu, bagi mengembalikan detik-detik kegemilangan itu, sekiranya negeri lain mempunyai NCER, IRDA, SDC, SCORE dan Malaysia Vision Valley,…

Maka itu,… KERAJAAN NEGERI MELAKA BERTEKAD, UNTUK MEWUJUDKAN SATU KORIDOR EKONOMI BAHARU, PELABURAN BERIMPAK TINGGI, SEBAGAI MERCU TANDA BAHARU EKONOMI NEGERI, BAKAL KITA NAMAKAN SEBAGAI, MELAKA WATERFRONT ECONOMIC ZONE ATAU M-WEZ!

  1. Lantas disimpulkan bahawa, WALAU CABARAN DATANG BERTALU-TALU, INSYAALLAH TEKADKU TETAP SATU, MEWAJAH MELAKA RUMAHKU, GARIS AKHIR, BERSAMA KITA TUJU!

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih. 32

Views:

1366
Kongsi :
Previous post Turun padang hari-hari bertemu rakyat – KM
Next post M-WEZ mercu tanda baharu ekonomi Melaka
Ubah saiz-+=