M-WEZ mercu tanda baharu ekonomi Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 20 Julai – Kerajaan negeri bakal membangunkan sebuah koridor ekonomi baharu, pelaburan berimpak tinggi sebagai mercu tanda ekonomi negeri
.
Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, perancangan mewujudkan Melaka Waterfront Economic Zone atau M-WEZ itu kini dalam perancangan dan mempersiapkan kertas kerja.

Beliau berkata, perancangan itu bagi meningkatkan kembali kegemilangan Melaka selain setanding dengan negeri lain seperti Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Hal ini saya cadangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) bahawa perlu ada koridor baharu tetapi ianya harus menyeluruh dan pembangunan secara bersepadu.

“Bagaimanapun ia tidak boleh dilaksanakan dalam sekelip mata atau tempoh dua tahun tetapi perancangan utama dan blue print perlu dilaksanakan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media pada Persidangan Kedua, Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14.

Menurut beliau, kawasan pantai seluas kira- kira 15,000 ekar dari Tanjung Beruas hingga Serkam yang sudah diterokai dikenal pasti menjadi lokasi M-WEZ.

“Disamping menjadikan koridor baharu sudah pasti sebahagian daripada itu kita jadikan wilayah termasuk Pulau Besar sebagai ‘free trade zone’.

“Sebagai negeri pelancongan, kita perlu perhebatkan industri pelancongan selain perlu ada produk baharu dan tidak boleh bergantung kepada produk sedia ada,” katanya.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, satu komiti baharu bersama MTEN termasuk beberapa pakar ekonomi juga sudah dibentuk untuk diperhalusi dan dikaji sebelum dibawa untuk mesyuarat fiskal bagi kelulusan.

Views:

712
Kongsi :
Previous post Teks penuh KM Usul Terima Kasih Ucapan TYT Melaka ‘Mewajah Melaka Rumahku, Garis Akhir Yang Dituju’
Next post Melaka peduli dengan garis kemiskinan baharu
Ubah saiz-+=