Temui kumbang hampir pupus di Taman Rama-rama

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Ramai yang tidak tahu spesis Kumbang Badak Tanduk Tiga atau ‘chalcosoma caucasus’ antara yang terbesar berasal dari Malaysia memerlukan masa hampir dua tahun untuk dilahirkan.

Spesis ini juga semakin pupus yang mana dahulunya ia mampu dilahirkan sebanyak 200 ekor sehari di dalam hutan, namun kini jumlah 200 ekor kumbang itu hanya boleh dilahirkan dalam tempoh setahun.

Pengurus Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, Qurratu Ain Rohaminordin berkata, orang ramai boleh menyaksikan sendiri keunikan spesis Kumbang Badak Tanduk Tiga itu di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka sempena Hari Serangga Sedunia 2022 bermula 3 hingga 30 Jun ini.

“Ramai yang tidak tahu spesis itu antara spesis terbesar yang berasal dari Malaysia dan kini ia semakin berkurangan dan pupus.

“Jika dahulu dalam hutan sehari boleh dapat (lahir) kira-kira 200 ekor kumbang badak tanduk tiga, namun kini dalam tempoh setahun baru kita boleh dapat 200 ekor kumbang dilahirkan.

“Kumbang ini hidup dalam batang kayu, untuk jadi dewasa perlukan masa sangat lama…kalau manusia sembilan bulan mengandung baru lahir, ia (kumbang) ambil masa 18 bulan untuk jadi seekor kumbang.

“Dalam tempoh 18 bulan itu ia perlu duduk dalam sebatang pokok yang besar lebih kurang satu kaki dan batang pokok itu perlu reput yang mengambil masa 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena sambutan Hari Serangga Sedunia 2022 di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka di sini.

Katanya ramai yang menganggap kumbang bandak tanduk tiga itu adalah serangga perosak bagi tanaman kelapa sawit sehingga ada yang sanggup membunuhnya.

“Di sini kita nak masyarakat sedar kepentingan serangga, kenapa serangga semakin berkurang disebabkan masyarakat itu sendiri yang sering menangkap dan membunuh serangga.

“Kita akan cakap kita bunuh serangga sebab ia perosak di rumah, rosakkan barang-barang, tapi kebanyakkan serangga yang dibunuh itu tiada kaitan dengan perosak.

“Contohnya kumbang badak tanduk tiga, selalu orang bunuh sebab ingatkan ia perosak ladang kelapa sawit, masyarakat kita salah faham, dia ingat bila kumbang je warna hitam perosak lepas itu kena bunuh sampai satu tahap populasi itu berkurang,” katanya lagi.

KAKITANGAN taman rama-rama menunjukkan spesis ‘Malayan Giant Katydid’ yang berusia setahun.

Mengulas lanjut, Qurratu Ain berkata lebih 100 spesis serangga akan dipamerkan kepada pengunjung sempena Hari Serangga Sedunia 2022 yang diadakan bermula 3 Jun (esok) ini.

“Kita ambil kesempatan sempena hari serangga sedunia di taman rama-rama ini, pelawat yang datang akan dapat berintekrasi lebih dekat dengan serangga selama sebulan.

“Kita nak kongsi dengan masyarakat semua kepentingan serangga, selalu masyarakat lihat haiwan yang besar sahaja tapi ramai terlepas pandang dengan serangga kecil yang ada di atas muka bumi kita.

“Sebenarnya serangga ini populasinya di atas muka bumi kita sangat banyak melebihi bilangan mamalia dan bilangan burung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2883
Kongsi :
Previous post Tiada kuota khas untuk calon guru COS
Next post Pingat emas terakhir Juwaidi?
Ubah saiz-+=