Terbit buku pantun untuk rujukan generasi baharu

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

DUYONG 10 Januari – Sebuah buku menghimpunkan pelbagai jenis pantun perlu diterbitkan sebagai rujukan dan panduan mengenai adat berpantun kepada generasi akan datang.

Itu antara hasrat yang dizahirkan ‘otai pantun’ yang juga Sidang Kampung Durian Daun, Abd Aziz Jantan, 73, dalam memastikan budaya itu tidak luput ditelan zaman.

Menurutnya, selain mengangkat budaya lama, inisiatif itu secara tidak langsung menyokong hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk membudayakan seni pantun di negeri ini.

“Inisiatif memperkasakan pantun ini amat bagus kerana ia secara tidak langsung dapat membantu Persatuan Sidang di Negeri Melaka membukukan pantun-pantun yang dihasilkan, selain dapat menghasilkan pantun sendiri.

“Buku ini bukan saja memahirkan sidang dalam berpantun, malah ia boleh dijadikan sumber rujukan kepada anak-anak muda yang akan memegang jawatan ini pada masa akan datang,” katanya kepada Melaka Hari ini ketika ditemui di kediamannya di Kampung Durian Daun, di sini.

Ujar Abd Aziz, peranan sidang di Melaka cukup besar yang mana ia bukan sahaja berkait soal adat, bahkan turut membantu masyarakat di kawasan pentadbiran masing-masing.

Jelasnya, setakat ini terdapat kira-kira 200 Sidang yang masih berkhidmat di negeri ini melibatkan ketiga-tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2721
Kongsi :
Previous post Perluas tanaman pegaga di Asahan, bantu asnaf jana pendapatan
Next post MPAG tangkap 1,081 haiwan terbiar
Ubah saiz-+=