‘Terhidu gas ammonia amat menakutkan’

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

TANJUNG BIDARA 10 Nov. – “Tidak pernah saya alami kesukaran bernafas sebelum ini dan pengalaman terhidu gas ammonia yang bocor amat menakutkan.

“Sejurus selepas keluar tandas saya terhidu gas yang amat kuat dan pandangan menjadi tidak jelas kerana dipenuhi asap tetapi saya gagahkan diri untuk segera keluar dari tandas,” kata Siti Rohani Senin, 54.

Beliau berkata, ketika mencari pintu keluar, beliau dapati kilang sudah kosong kerana kebanyakan pekerja sudah melarikan diri keluar dan ketika itu beliau merasakan dadanya amat sakit serta sukar untuk bernafas.

Siti Rohani berkata, dalam keadaan pening dan hampir pitam itu, dia terpaksa berjalan sambil berpaut pada dinding dan beberapa pekerja yang turut bergegas keluar dari kilang untuk menyelamatkan diri masing-masing.

SITI Rohani (kiri) menceritakan detik cemas terhidu gas ammonia kepada rakannya di kediamannya di Kampung Padang Kemunting, Masjid Tanah.

Pengalaman pahit dan menakutkan itu dilaluinya dalam kejadian gas ammonia bocor di kilang memproses ayam di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah, Pengkalan Balak dekat sini pada 2 November lalu.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, Siti Rohani yang sudah 20 tahun bekerja di kilang berkenaan terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka kerana menghadapi kesukaran bernafas akibat terhidu gas berkenaan.

Menjelaskannya, beliau berkata, dalam keadaan mencungap, dia duduk di luar kilang bersama-sama puluhan pekerja yang lain sebelum anak saudara lelakinya yang turut bekerja di kilang itu menghubungi anaknya, Hafifi, 22, agar segera datang ke kilang untuk membawanya ke Klinik Masjid Tanah, di sini.

“Anak saya segera membawa saya ke klinik itu dan kemudiannya petugas di klinik itu membawa saya dengan ambulans ke Hospital Melaka kerana saya amat sukar bernafas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud dan rakan sekerjanya di kediamannya di Kampung Padang Kemunting, Masjid Tanah dekat sini hari ini.

Ibu lapan anak itu berkata, beliau hanya berserah kepada Allah sepanjang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka dari 2 November hingga Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Siti Rohani amat bersyukur kerana dizinkan Allah untuk sembuh daripada kesengsaraan itu selepas empat hari dirawat di hospital berkenaan sebelum dibenarkan pulang pada petang Jumaat lalu.

Sementara itu, Md Rawi ketika menyampaikan sumbangan kepada Siti Rohani berkata, beliau difahamkan, kebocoran gas itu berpunca daripada kerja penyelenggaraan dilakukan beberapa pekerja yang menyebabkan berpuluh-puluh pekerja terpaksa bergegas keluar dari kilang.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana kejadian itu tidak menyebabkan kehilangan jiwa.

Views:

834
Kongsi :
Previous post Belanjawan Melaka 2021: Rakyat Melaka mahu peluang tambah pendapatan
Next post Solat Jumaat dalam zon merah di Perak diganti dengan solat Zohor
Ubah saiz-+=