Solat Jumaat dalam zon merah di Perak diganti dengan solat Zohor

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

IPOH 10 Nov. – Solat Jumaat di masjid dan surau dalam zon merah di negeri ini, digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari.

Beliau berkata keputusan itu diperkenan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selepas menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, berpandukan garis panduan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, solat berjemaah pada setiap solat fardu pula terhad kepada enam orang membabitkan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah, manakala semua aktiviti keagamaan seperti ceramah, kuliah pengajian antara Maghrib dan Isyak serta selepas solat Subuh dan tahlil doa selamat ditangguhkan.

“Bagi masjid dan surau dalam zon kuning, solat Jumaat hanya boleh dilaksanakan dengan had seramai 23 orang terdiri melibatkan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah, manakala jemaah lain hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Setakat ini, Kampung Buaia dalam daerah Kuala Kangsar menjadi satu-satunya kawasan zon merah di Perak dengan merekodkan 101 kes positif wabak COVID-19 daripada Kluster Rengas.

Shahrul Azam berkata untuk solat berjemaah pada setiap solat fardu pula ia terhad kepada 23 orang terdiri daripada kalangan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah manakala penganjuran kuliah pengajian antara solat Maghrib dan solat Isyak serta selepas solat Subuh dibenarkan pada skala kecil.

Zon kuning melibatkan Taiping dan Selama di daerah Larut, Matang dan Selama; Bagan Serai, Bagan Tiang, Kuala Kurau dan Parit Buntar di daerah Kerian; Sayong di Kuala Kangsar; Ipoh, Chemor, Lahat dan Sungai Terap di daerah Kinta serta Batang Padang.

Shahrul Azam berkata, solat Jumaat di kawasan zon hijau pula hanya boleh dilaksanakan dengan had seramai 40 orang terdiri dalam kalangan pegawai masjid, ahli jawatankuasa kariah dan ahli kariah manakala para jemaah yang lain hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

“Solat berjemaah pada setiap solat fardu hanya boleh dilaksanakan oleh 40 orang  terdiri kalangan pegawai masjid, ahli jawatankuasa kariah dan ahli kariah sert penganjuran kuliah pengajian antara solat Maghrib dan solat Isyak serta selepas solat Subuh dibenarkan pada skala kecil, ” katanya.

Beliau berkata ahli jawatankuasa kariah atau pegawai masjid hendaklah memberikan peringatan dan penerangan ringkas kepada jemaah untuk mematuhi garis panduan ditetapkan dengan solat di masjid atau surau pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia sahaja.

“Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baharu daripada MAIPk,” katanya.

— BERNAMA

Views:

1121
Kongsi :
Previous post ‘Terhidu gas ammonia amat menakutkan’
Next post Remaja hari ini cerminan hari esok
Ubah saiz-+=