Terima kasih Tun Mohd Khalil atas khidmat cemerlang kepada Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 5 Jun – Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam Tun Dr Mohd Khalil Yaakob secara rasminya menyerahkan tugas kepada pengganti beliau Tun (Dr) Mohd Ali Rustam hari ini.

Mohd Khalil yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka yang keenam pada 2 Jun 2004 dan mengangkat sumpah jawatan itu pada 4 Jun 2004, menamatkan tempoh perkhidmatan penggal keempatnya semalam.

Beliau menggantikan Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabudin yang telah berkhidmat selama 20 tahun sebelum itu.

Mohd Khalil mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri bagi penggal keempat pada 27 Mei 2016.

Sepanjang 16 tahun melaksanakan tugas rasmi sebagai Yang di-Pertua Negeri, beliau cukup dikenali sebagai seorang yang sangat berdedikasi dalam membantu dan melihat negeri terus ditadbir dengan penuh amanah untuk kesejahteraan bersama semua rakyat.

Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu pernah memegang jawatan dalam Kabinet termasuk sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dari 1982 hingga 1984, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1984-1986) dan Menteri Penerangan (1999-2004).

Beliau yang mengahwini Toh Puan Zurina Kassim yang berasal dari Duyong dekat sini, turut mempunyai pengalaman luas dalam mentadbir negeri kerana pernah menyandang jawatan Menteri Besar Pahang kelapan selama 13 tahun dari 1986 hingga 1999.

Lantaran itu, isu-isu berkaitan rakyat dan pembangunan negeri adalah sesuatu yang sangat dekat dihati Mohd Khalil dan beliau sentiasa bersedia memberikan pandangan dan berkongsi pengalaman beliau dengan kerajaan negeri demi memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan kemajuan negeri terus berkembang.

Di sebalik dedikasi beliau terhadap tugas rasmi sebagai Yang di-Pertua Negeri, Mohd Khalil cukup dikenali sebagai seorang yang berjiwa seni.

Beliau mempunyai minat yang sangat mendalam terhadap bidang seni lukis dan telah menghasilkan lebih 80 buah catan dan lukisan sehingga kini.

Malahan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) telah menerbitkan buku lukisan ‘Tun Khalil Yaakob: Artist – Potraits and Images’ yang memaparkan karya seni hasil kreativiti beliau.

Beliau dikatakan memilih waktu antara pukul 2.00 pagi hingga 4.30 pagi yang tenang dan tenteram untuk berkarya.

Mohd Khalil juga adalah peminat filem-filem Tamil dan merupakan peminat setia pelakon legenda Rajinikanth.

“Saya mula jadi peminatnya sejak dari filem Tamil yang bertajuk Muthu pada tahun 1990,” katanya seperti dilaporkan media tempatan sebelum ini.

Mohd Khalil yang mewakili Universiti Malaya (UM) dalam sukan ragbi ketika menyambung pengajian peringkat sarjana muda dalam bidang Sastera turut meminati sukan golf.

Selain itu, sekiranya berkelapangan, beliau akan turun ke Stadium Hang Jebat dekat sini bagi menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan Melaka United (MU) sejak pasukan itu bersaing dalam Liga FAM suatu ketika dahulu sehingga ke pentas Liga Super.

Terima kasih Tun Dr Mohd Khalil atas segala jasa dan sumbangan yang ditaburkan selama ini demi kemajuan negeri dan keselesaan rakyat negeri ini.

Semoga dilimpahi rahmat, mendapat magfirah, diberkati usia, sihat tubuh badan dan dimurahkan rezeki.

Views:

865
Kongsi :
Previous post Teks Ucapan: Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)
Next post Solat Jumaat: Melaka pertimbang tambah bilangan jemaah di semua masjid dan surau
Ubah saiz-+=