Ternakan kupang bantu nelayan Pantai Kundor

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PANTAI KUNDOR 13 Mei – Ternakan kupang menjadi antara cadangan bagi membantu mengembangkan ekonomi nelayan di kawasan Pantai Kundor, kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Beliau berkata, selepas membantu nelayan di sepanjang persisiran Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai dalam penternakan kerang, Kerajaan Negeri juga akan mencari jalan membantu nelayan di sekitar Pantai Kundor.

Beliau berkata, selain ternakan kupang pihaknya juga menerima beberapa cadangan lain termasuklah membantu menaik taraf nelayan daripada berkonsep hiliran kepada nelayan laut dalam.

“Kita tidak boleh biarkan nelayan-nelayan ini terus bergantung harap dengan hasil tangkapan semata-mata kerana apabila berlaku tambakan laut sudah tentu hasil tangkapan akan berkurangan maka ia kena datang dengan sumber yang lain.

“Seperti cadangan untuk membuat ternakan kupang dan itu kita akan lihat dan pertimbangkan. Kerajaan Negeri akan terus komited dalam membantu nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Santai Raya Nelayan Tanjung Kling yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim di Balai Nelayan Tanjung Kling, hari ini.

Menurutnya, selain membantu mengembangkan ekonomi nelayan, Kerajaan Negeri juga akan membaik pulih infrastruktur di kawasan Pantai Kundor dalam menarik kedatangan pelancong ke kawasan itu.

“Sempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 tahun hadapan sudah tentulah mereka ini (nelayan) perlu ada satu produk yang sangat baik contohnya ada tempat ikan yang sangat cantik dan inilah yang kita akan cuba perbaiki.

“Apabila dilakukan ia akan jadi daya tarikan pelancong dan sekaligus boleh mengembangkan ekonomi setempat nelayan yang berada di kawasan DUN Pantai Kundor,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1256
Kongsi :
Previous post Pelaburan saham akhirat
Next post Vespa merah curi tumpuan di Rumah Terbuka SUK Melaka
Ubah saiz-+=