Vespa merah curi tumpuan di Rumah Terbuka SUK Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PERINGGIT 13 Mei – Cuaca panas tidak memudarkan kemeriahan di Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka yang berlangsung dalam suasana cukup ceria dengan kehadiran lebih 3,000 pengunjung.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari berkata, majlis rumah terbuka itu simboliknya adalah bagi merapatkan lagi hubungan bersama pemimpin, kakitangan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri.

Katanya, selain menyajikan lebih 15 juadah hari raya antaranya lemang, sate, kambing bakar dan cendol, pengunjung juga boleh berswafoto dengan ‘prop’ skuter vespa yang ditampilkan bagi memeriahkan lagi suasana Aidilfitri.

“Saya bersyukur dan terima kasih kepada semua terutama Tun (Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam) dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang sudi hadir dalam cuaca cukup baik ini.

“Kelainan yang ditampilkan selain juadah hari raya macam rendang maman dari Negeri Sembilan, saya bawa skuter vespa untuk mereka bergambar seterusnya mencipta kenangan di sini.

“Vespa ini kalau ikutkan bukan perancangan awal cuma saya terfikir ia boleh jadi tarikan orang ramai yang datang ke kediaman saya hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka di Kediaman Rasminya di Bukit Peringgit, di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang sempat meluangkan masa beramah mesra dengan para tetamu.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum dan barisan EXCO Kerajaan Negeri Melaka.

Sementara itu, tetamu yang hadir juga kebanyakannya dilihat memakai busana lengkap hari raya meskipun Syawal hampir ke penghujungnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5144
Kongsi :
Previous post Ternakan kupang bantu nelayan Pantai Kundor
Next post Tradisi kacau dodol semarak raya Pantai Kundor
Ubah saiz-+=