Ternakan untuk ibadah korban dipastikan sihat, gemuk

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

TABOH NANING 9 Mei – Menjelang Aidiladha Julai depan, penternak mula melakukan persiapan awal bagi memastikan haiwan ruminan daripada ladang mereka dalam keadaan sihat dan menepati syarat untuk menjalankan ibadah korban.

Aspek penjagaan kesihatan lembu, kerbau dan kambing amat dititikberatkan penternak kerana haiwan yang berpenyakit bukan setakat tidak layak untuk dijadikan korban, malah boleh menyebabkan penyebaran wabak berbahaya untuk ternakan.
Usahawan muda, Mohd Norhusaini Norsham, 23, sanggup mengeluarkan kos agak tinggi bagi mendapatkan vitamin dan ubat pencegah penyakit, semata-mata untuk memastikan haiwan peliharaan di kandangnya dalam keadaan sihat.

“Penyakit cacing paling kerap menyerang hingga boleh menyebabkan haiwan ruminan sakit, jadi kami menyuntik sejenis ubat khas.

“Ubat sama juga boleh membantu mencegah kulit haiwan daripada serangan bakteria,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Rantau Panjang, di sini.

Dengan dibantu rakannya, Mohd Hafiz Anuar, 27, Mohd Norhusaini menyuntik 100 lembu yang dikenal pasti berpotensi dan sesuai untuk ibadah korban pada Aidiladha nanti.

Selain ubat berkenaan, mereka turut menyuntik vitamin bagi memastikan ternakan sihat dan sedia untuk dipasarkan.

Mohd Norhusaini mempamerkan bahan suntikan untuk memelihara kesihatan haiwan ruminan yang bakal dikorbankan
pada Aidiladha di Kampung Rantau Panjang, dekat Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

Katanya, setiap lembu disuntik antara empat hingga enam mililiter (ml) ubat dan 20 ml vitamin.

Menurutnya tugas menyuntik lembu dan kerbau harus dibuat dengan berhati-hati kerana bimbang haiwan itu akan bertindak agresif.

“Tendangan kaki belakang haiwan itu mampu menyebabkan kecederaan parah. Bagi lembu atau kerbau yang degil dan sukar untuk disuntik, kami terpaksa mengikatnya,” katanya.

Dia berkata, lazimnya pelanggan memilih haiwan korban, terutama lembu sebulan sebelum Aidiladha dan ada juga yang memilih kerbau tetapi jumlahnya tidak ramai.

Jelasnya purata harga seekor lembu atau kerbau muda yang sedia untuk dikorbankan adalah antara RM4,000 hingga RM5,000.

Bagaimanapun, ada juga pelanggan yang memilih untuk mengorbankan lembu atau kerbau bersaiz besar yang berat daging serta tulangnya mencecah antara 200 hingga 260 kilogram (kg).

Lazimnya, lembu atau kerbau seumpama itu dianggarkan bernilai antara RM10,000 hingga RM15,000 seekor dan jika
pembayaran sudah dibuat, dia bertanggungjawab memastikan haiwan berkenaan dalam keadaan sihat, katanya.

Antara tugas lain Mohd Norhusaini adalah memastikan ternakan berkenaan semakin berisi dan sentiasa berjaga-jaga bagi dalam berdepan ancaman pencuri ternakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1953
Kongsi :
Previous post Op Selamat: Kemalangan jalan raya di Sabah meningkat tahun ini
Next post Kuat kuasa peraturan untuk ambil tindakan terhadap pengabaian haiwan
Ubah saiz-+=