Terpedaya helah lelaki menyamar polis, guru wanita rugi RM27,550

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUANTAN, 23 Jan. – Seorang guru wanita membuat laporan polis kerana mengalami kerugian RM27,550 akibat diperdayakan lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berumur 57 tahun itu mendakwa dia dihubungi suspek lelaki mengaku sebagai pegawai polis Rabu lalu, yang memberitahu namanya digunakan bagi membuka sebuah akaun bank yang dikaitkan dengan aktiviti penggubahan wang haram.

“Wanita itu mendakwa telah menuruti arahan untuk memberikan maklumat peribadi dan perbankan kepada suspek, kononnya bagi tujuan siasatan kerana bimbang ditangkap jika tidak memberikan kerjasama kepada polis.

“Bagaimanapun selepas wanita itu memeriksa baki akaun banknya pada pagi semalam, dia mendapati ada banyak transaksi pemindahan wang secara atas talian daripada dua akaun bank miliknya ke akaun yang tidak dikenali,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata guru wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, kira-kira 220 kilometer dari sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat peribadi dan perbankan menerusi panggilan telefon, termasuk kepada mereka yang memperkenalkan diri sebagai polis atau agensi kerajaan lain, sebaliknya membuat pemeriksaan terlebih dahulu di balai polis berhampiran.

Views:

390
Kongsi :
Previous post Pejabat dan kaunter APAD Wilayah Selatan beroperasi semula esok
Next post Ahli Parlimen pembangkang mahu kerajaan laksana semua moratorium pinjaman enam bulan
Ubah saiz-+=