Teruja, pertama kali tunai umrah

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 Jun – “Alhamdulillah ini impian saya setelah 30 tahun memeluk Islam, tidak sangka saya dipilih untuk mengerjakan ibadah umrah pada tahun ini,” kata Muhammad Fahmi Petrus Abdullah, 55.

Muhammad Fahmi merupakan antara 10 penerima Anugerah Umrah Mualaf Negeri Melaka, sekali gus mendapat penajaan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi menunaikan ibadah umrah.

Terdahulu anugerah itu disampaikan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah, pada Bengkel ‘Terokai Indahnya Hidup Bersyariat’ berlangsung di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.

Photo1719052684
MUHAMMAD Fahmi (dua dari kanan) menerima anugerah yang disampaikan Rosli. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini berkata, dapat menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci dianggap sebagai rahmah yang amat besar daripada Allah SWT selepas tidak kali membuat permohonan.

“Meskipun tidak terpilih pada tahun sebelumnya saya sentiasa positif dan muhasabah diri, selepas ini saya akan melakukan persiapan untuk ke Tanah Suci.

“Selepas bersara saya aktif bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan MAIM bagi membantu saudara Muslim, malah Balai Islam MAIM sudah seperti rumah kedua saya,” katanya.

Photo1719052790
NUR Suziela.

Sementara itu Nur Suziela Abdullah, 38, juga tidak putus asa dan terus memohon untuk mengerjakan ibadah umrah.

“Memang semua berhasrat mahu pergi ke sana (Umrah), dua tahun lepas saya pernah mohon cuma tidak lulus tapi tahun ini saya cuba lagi dan alhamdulillah saya dipilih.

“Hasrat saya adalah menjejakkan kaki ke Tanah Suci, terima kasih kepada MAIM beri peluang ini kepada saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

101
Kongsi :
Previous post Pembangunan kawasan industri holistik, terancang dan tersusun
Next post Kejohanan Ragbi Merdeka Ke-67 dari 30 Ogos hingga 1 September ini
Ubah saiz-+=