Terus PdPR sampai akhir tahun

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Ogos – Pengumuman sekolah akan dibuka secara berperingkat mulai September ini oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan segelintir ibu bapa di Melaka.

Mereka melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka daripada pandemik COVID-19 di sekolah dan menyarankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan.

ADILLAH.

Ini berikutan mereka bimbang terhadap jangkitan harian COVID-19 di seluruh negara yang melebihi 10,000 kes sejak 24 Julai lalu dan mencatat kadar tertinggi semalam dengan 19,819 kes.

Pengusaha restoran, Adillah Jamaludin berkata, dia tidak menyokong pembukaan sekolah pada ketika ini apabila negara berhadapan situasi kes tinggi saban hari.

Katanya, kerajaan boleh menangguhkan persekolahan sehingga hujung tahun mengambil kira kanak-kanak di bawah usia 18 tahun tidak akan divaksin ketika ini sedangkan mereka terdedah dan berisiko tinggi terhadap jangkitan varian baharu.

“Sebagai ayah, keselamatan dan kesihatan anak-anak menjadi keutamaan. Pendapat saya dari segi masa nak buka sekolah pada bulan depan tidak wajar kerana kes tinggi setiap hari, anak-anak kecil lagi, tidak divaksin, sistem imunisasi mereka tidak seperti orang dewasa,” katanya.

Dia yang mempunyai tiga anak bersekolah ditemui di restorannya di Banda Hilir, di sini.

NORASYIDAH.

Sementara itu, Norasyidah Jamal berkata, kerajaan sewajarnya meneruskan PdPR hingga akhir tahun ini berikutan kes harian melebihi 15,000 kes menimbulkan kerisauan kepada ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak.

“Pada hemat saya wajar kerajaan teruskan sesi PdPR sehingga tamat sesi persekolahan untuk tahun 2021 dan yang penting diperkemas lagi.

“Apabila kes sudah turun di bawah 1,000 kes, baru buka semula sekolah fizikal. Bagi saya sendiri ada dua anak yang bersekolah, amat risau risiko jangkitan COVID-19 ini,” katanya kepada MHI.

Nada yang sama disuarakan pengusaha pakaian kanak-kanak atas talian, Iqmal Haqim Rosman yang mempunyai dua anak bersekolah.

IQMAL HAQIM.

Ujar Iqmal Haqim, keadaan varian baharu COVID-19 yang semakin ‘mengganas’ antara punca dia tidak akan membenarkan anak-anaknya ke sekolah bulan hadapan sekiranya kes masih tinggi.

“Dengan keadaan kes tinggi sekarang, keputusan kerajaan untuk membuka sekolah bulan depan ada pro dan kontra.

“Namun saya melihat langkah itu sebagai tidak wajar, apatah lagi anak-anak sudah mula menerima pembelajaran PdPR dan ibu bapa khuatir terhadap situasi semasa jika sekolah dibuka.

“Apatah lagi kerajaan masih belum mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan berkesan, bagi murid kategori tidak-vaksin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

864
Kongsi :
Previous post Kejayaan Chin Ann suntik semangat anak muda Melaka – Sulaiman
Next post Mayat bayi perempuan ditemukan dalam longkang
Ubah saiz-+=