Thaipusam: Tradisi tetap diteruskan biarpun dalam norma baharu

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BATU BERENDAM 18 Jan – Biarpun dalam kehidupan norma baharu perayaan Thaipusam disambut penganut agama Hindu tetap diraikan dengan penuh tradisi.

Kemeriahan perayaan disambut begitu terhad kali ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) selepas kerajaan hanya membenarkan hanya satu upacara iaitu ‘Paal Kodam’ dibenarkan pada perayaan melepaskan nazar itu.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Kuil Subramaniar Devasthanam di sini, mendapati penganut agama Hindu mula hadir ke kuil itu pada jam 7 pagi.

Biarpun hanya kapasiti 50 peratus sahaja dibenarkan memasuki kawasan kuil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) tetap melakukan pemantauan pematuhan SOP.

PENGANUT Hindu mula hadir dengan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan sempena sambutan Thaipusam di Kuil Subramaniar Devasthanam, Batu Berendam Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pengujung memasuki Kawasan kuil secara bergilir dengan hanya satu laluan bagi keluar dan masuk dibuka.

Malah, pengunjung juga diberikan ‘tag’ giliran oleh anggota RELA bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di dalam bangunan kuil.

Selain itu, sanitasi berkala turut dilaksanakan sekitar kuil dengan dipantau kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Rata-rata penganut Hindu yang hadir memakai pakaian berwarna-warni kelihatan ceria dan bersyukur pada sambutan tahun ini berikutan ia tidak dapat disambut pada tahun lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Iringan muzik tradisi dimainkan menaikkan ‘seri’ hari perayaan itu biarpun ia sedikit janggal berikutan kerajaan tidak membenarkan acara utama iaitu memikul ‘kavadi’ diadakan demi mengekang penularan pandemik COVID-19.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1043
Kongsi :
Previous post 23 anggota, pegawai polis Pahang dibuang kerja – Ramli
Next post 10 sekolah berhampiran tapak pelupusan sampah Pulau Burung diarah tutup
Ubah saiz-+=