Tiada lagi projek pembangunan di pinggir sungai, paya – KM

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

SERI NEGERI 3 Mac – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengesahkan kawasan tanah bencah (wetland) tidak dibenarkan untuk apa juga projek pembangunan.

Beliau berkata, perkara itu telah dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan dijangka akan diwartakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, hal itu penting dalam mengurangkan masalah banjir yang berlaku khususnya membabitkan perumahan di kawasan pinggir sungai dan paya di negeri ini.

“Disebabkan fenomena cuaca yang tidak menentu, kita tidak akan lagi membenarkan projek pembangunan di kawasan wetland dan kawasan-kawasan rendah.

“Baik wetland sungai mahupun kawasan darat kita tidak lagi benarkan kerana wetland merupakan kawasan pengumpulan air dan ia secara semulajadi terletak di kawasan rendah.

“Jadi sekarang tiada lagi. Tetapi jika ada pembangunan terpaksa dilaksanakan di kawasan itu saya minta satu kajian terperinci dilakukan terlebih dahulu sebelum diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas ucapan penggulungan penangguhan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman memaklumkan kerajaan negeri juga meminta semua projek pembangunan di kawasan rendah ditinggikan dua kali ganda berbanding ketetapan sebelum ini.

Jelasnya, ia bagi mengelakkan kawasan itu dinaiki air lebih cepat sekiranya berlaku musim hujan sekali gus menambah lokasi ‘hotspot’ banjir di negeri ini.

“Perkara itu, meninggikan projek pembangunan telah kita tekankan kepada semua pemaju kerana kita tidak mahu nanti kerajaan negeri yang dicari mangsa terlibat sedangkan pihak pemaju bersikap lepas tangan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

866
Kongsi :
Previous post Amaran hujan berterusan tahap waspada di Terengganu, Pahang dan Johor
Next post 14 masjid dan surau baharu bakal dibina
Ubah saiz-+=