Tiada ‘pihak ketiga’ dalam urusan pentadbiran Melaka – SUK Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 11 Okt – Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad menafikan dakwaan bahawa wujud ‘pihak ketiga’ dalam urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.

Katanya, dakwaan dibangkitkan oleh Datuk Seri Utama Idris Haron sama sekali tidak berasas memandangkan segala keputusan semasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) adalah muktamad dan keputusan bersama (collective decision).

SETIAUSAHA Kerajaan Negeri Datuk Kamel Mohamad

“Adalah tidak benar segala keputusan perlu dirujuk kepada pihak ketiga sama ada sebelum, semasa dan selepas mesyuarat.

“Merujuk kepada dakwaan khusus bahawa terdapat campur tangan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka dan dakwaan bahawa keputusan MMKN perlu dirujuk kepada pihak ketiga sebelum dilaksanakan, pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka menafikan dakwaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri Melaka juga memandang serius tohmahan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu bahawa MMKN mengamalkan dasar terpilih yang memihak kepada satu-satu kaum dalam membuat keputusan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan MMKN sentiasa mengambil kepentingan semua rakyat Melaka tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya lagi, semua Ahli MMKN juga telah mengangkat sumpah kerahsiaan untuk tidak memberitahu atau tidak menzahirkan kepada sesiapa sama ada secara langsung atau secara tidak langsung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan MMKN.

Justeru, pihaknya akan meneliti sama ada terdapat pelanggaran ke atas sumpah kerahsiaan tersebut yang dilakukan oleh Idris semasa beliau menjadi Exco.

“Dalam hubungan ini Kerajaan Negeri Melaka sedang meneliti sama ada terdapat pelanggaran ke atas sumpah kerahsiaan tersebut dan sekiranya terdapat pelanggaran, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1935
Kongsi :
Previous post Mini Malaysia kembali ‘bernafas’
Next post Melaka tiada pilihan, perlu PRN – Abdul Rahim
Ubah saiz-+=