Tiada tindakan disiplin terhadap pegawai kesihatan terbabit Hartal

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KUALA LUMPUR 27 Julai – Kerajaan tidak akan mengenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana doktor atau pegawai kesihatan kontrak yang menyertai demonstrasi aman ‘Hartal Doktor Kontrak’ semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Ketika menggulung pertanyaan Ahli-ahli Parlimen mengenai penerangan tindakan mengatasi penularan COVID-19 pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini hari ini, Dr Adham berkata mereka berhak berkumpul untuk menyuarakan pandangan masing-masing.

“Insya-Allah tidak ada tindakan kepada mereka walaupun mereka telah pun keluar semalam berdemonstrasi…kita tidak akan ambil tindakan disiplin,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) sama ada Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil tindakan terhadap doktor kontrak yang terlibat dalam demonstrasi aman itu.

Terdahulu, Dr Adham membentangkan penerangannya berhubung tindakan yang dilaksanakan KKM untuk membendung penularan wabak itu.

Seramai 18 Ahli Parlimen membangkitkan persoalan dan memohon penjelasan lanjut.

Mengenai isu perjawatan tetap bagi doktor kontrak, Dr Adham berkata kerajaan menyediakan pelan jangka pendek dan sederhana termasuk melanjutkan tempoh jawatan kontrak dua tahun bagi membolehkan KKM membentangkan pindaan kepada Akta Pencen 1980 dan Akta Perubatan 1971.

Katanya pindaan kedua-dua akta itu bagi membolehkan pegawai perubatan kontrak mendapatkan jawatan tetap dengan kaedah berpencen atau pilihan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya berjanji akan bawa ke Parlimen (pindaan akta) untuk kita boleh bantu mereka (pegawai kontrak), saya mengharapkan sokongan Ahli Yang Berhormat supaya ia dapat bahas (untuk dipinda) dan diluluskan supaya doktor kontrak ini dapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Isu-isu itu dibangkitkan hampir kesemua Ahli Parlimen termasuk Dr Dzulkefly; Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau); Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) dan Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) yang meminta agar isu perjawatan tetap doktor kontrak diselesaikan segera.

Dr Dzulkefly yang memulakan perbahasan hari ini menegaskan agar doktor kontrak hanya mahukan kemaslahatan mereka dan mendapat layanan yang adil dan saksama.

“Jangan jadikan mereka (doktor kontrak) dalam pandemik ini seumpama PPE (pakaian perlindungan diri), dibuang setelah diguna pakai sebagaimana gaun PPE diperlakukan,” katanya.

Mohd Fasiah pula membangkitkan persoalan mengenai bilangan pegawai perubatan kontrak yang sedang berkhidmat dengan KKM pada masa ini bagi menangani penularan COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

556
Kongsi :
Previous post Dewan Rakyat: Hari kedua dibuka dengan isu perundangan, ditutup dengan isu perubatan
Next post Pemborong buah dakwa rugi RM414,932 dalam penjualan Musang King
Ubah saiz-+=