“Tidak kiralah berapa cantik kamu main, yang paling penting ialah menjaringkan gol” – Zainal

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KRUBONG 6 Okt. – Ketua Jurulatih Melaka United Zainal Abidin Hassan menyifatkan kekalahan di tangan Kedah pada aksi di Stadium KLFA Cheras, semalam berpunca daripada kegagalan menyudahkan peluang yang terhidang.

Menurutnya, pemain skuad Hang Tuah sudah menunjukkan perubahan positif dari segi kualiti permainan selepas tewas kepada Sabah sebelum ini, namun kelemahan paling ketara ialah gagal menembusi jaring lawan sepanjang 90 minit permainan.

Namun, beliau tetap memberi pujian kepada pemain yang tidak putus asa mencipta peluang demi peluang dalam perlawanan tersebut.

“Pujian perlu diberikan kepada pemain selepas 25 minit separuh masa pertama hinggalah ke wisel penamat. Mereka tidak putus asa mencipta peluang demi peluang.

“Namun, dalam bola sepak, tidak kiralah berapa cantik kamu main, tetapi yang paling penting ialah menjaringkan gol.

“Jadi, kegagalan kami kali ini ialah gagal meletakkan bola di dalam jaring, walaupun mendapat peluang-peluang terbuka untuk menjaringkan gol,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi yang ditunda sebanyak dua kali itu, Melaka melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama, termasuklah merehatkan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat.

Namun, tuah tidak menyebelahi Melaka United apabila tewas tipis 0-1 hasil jaringan gol tunggal Shakir Hamzah pada minit ke-19.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Melaka United di tangga kelapan liga dengan 11 mata.

Mengulas lanjut, Zainal berkata meskipun impian untuk mengejar kedudukan lima teratas liga tampak sukar, namun dia tetap berpuas hati dengan pencapaian pasukan yang berjaya kekal di Liga Super musim depan

“Kita tahu kita tertekan sejak awal liga disambung kembali kerana kita berada di kedudukan dua tercorot. Tetapi kita berjaya bangkit dalam empat perlawanan begitu baik dan mendaki tangga liga.

“Tahniah kepada pemain kerana dapat mengekalkan pasukan dalam Liga Super musim depan. Kita masih ada satu lagi perlawanan terakhir dan diharap kita dapat memperbaiki kedudukan kita lagi dari situ,” katanya lagi.

Views:

308
Kongsi :
Previous post Bunuh kawan: Penganggur berdepan hukuman mati
Next post SPRM tahan bekas KPSU
Ubah saiz-+=