Tidak perlu lagi tadah air hujan guna besen

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

MACHAP JAYA 5 September – “Jika dulu, keadaan dapur dipenuhi besen untuk menadah air hujan, Alhamdulillah kini keadaan dapur semakin selesa untuk memasak,” kata Suhaila Jaafar,

Suhaila, 37 antara dua penerima Program Inspirasiku MyHAUS Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang menerima bantuan baik pulih kediaman dan perniagaan.

Ibu tiga cahaya mata yang berniaga goreng pisang dan nasi campur berkata, keadaan bumbung dapur rumah pusaka didiaminya itu sudah  bocor sejak sekian lama tetapi disebabkan kekangan kewangan, hasratnya terbantut.

“Dengan bergantung pendapatan berniaga sendiri memang tidak mampu untuk baik pulih tetapi hendak dijadikan cerita tahun lepas ada pihak yang bertanyakan keadaan rumah.

“Saya ceritakan bumbung dapur bocor termasuk menghantar video keadaan semasa hujan, Alhamdulillah rezeki kami anak beranak apabila menerima peruntukan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Melayu Machap Jaya, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pejabat Pembangunan Melaka, Megat Azlani Megat Ramli dan Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan YaPEIM, Parihah Hasan.

WhatsApp Image 2023-09-05 at 13.53.22
SUHAILA (tengah) bersama Megat Azlani (kanan) pada Program Inspirasiku MyHAUS YaPEIM

Sementara itu, seorang lagi penerima Siti Hazura Abd Rahman, 50, berkata, sebaik dimaklumkan antara yang terpilih menerusi program itu, dia seakan tidak percaya namun bersyukur kerana dapat memiliki kediaman yang lebih selesa.

“Dua tahun lepas tanpa sedar bahagian bumbung rumah dimakan anai-anai tiba-tiba sahaja bahagian kayu ruang tengah rumah pecah dan kebetulan ada wakil dari Pejabat Pembangunan Melaka yang datang.

“Mungkin kalau hendak baiki sendiri saya tiada duit apa yang saya boleh katakan proses baik pulih agak cepat sebelum siap sepenuhnya pada Mac.

“Memang gembira dan bersyukur sangat kerana bukan sahaja anak-anak selesa tetapi tidak segan lagi hendak menjemput rakan-rakan mahupun sedara datang berkunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2184
Kongsi :
Previous post TDM akan terima dua kepimpinan tertinggi baharu esok – PTD
Next post Pertandingan ‘Jom Selfie’ hingga 30 September
Ubah saiz-+=