Tidur jam 2 pagi, cuma makan sesudu nasi sebelum vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 30 Sept – Murid sekolah rendah yang didakwa longlai selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam rakaman video tular hari ini disahkan tidur lewat iaitu pada jam 2 pagi dan hanya makan sesudu nasi lemak sebelum divaksin pagi tadi.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam) Dr Rusdi Abd Rahmad berkata, siasatan selepas kejadian mendapati, murid berusia 12 tahun itu juga tidak berselera makan dan hadir secara walk in bersama keluarga ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi, Encore, Klebang.

Menurutnya, semasa proses vaksinasi, remaja terbabit juga agak gementar tetapi tiada sebarang kesan sampingan yang dilihat sejurus selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian.

“Namun begitu selepas itu ketika dalam perjalanan pulang di kawasan parkir kenderaan, remaja ini secara tiba-tiba lemah dan rebah sehingga perlu dipapah oleh ahli keluarganya masuk semula ke PPV bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan Pegawai Perubatan bertugas mendapati keadaan remaja ini adalah stabil dengan vital signs iaitu tekanan darah, nadi dan paras oksigen dalam darah adalah normal.

“Pemerhatian 30 minit oleh pasukan perubatan mendapati remaja berkenaan menunjukkan keadaan stabil dan dibenarkan pulang. Panggilan telefon susulan kepada keluarga selepas itu mendapati remaja ini sihat dan aktif seperti sedia kala,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Menurut Dr Rusdi, hasil siasatan lanjut mendapati, remaja ini telah tidur lewat iaitu pada jam dua pagi selain itu tidak berselera makan dan hanya makan sesudu nasi lemak pada pagi tadi.

“Remaja ini tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, tidak pernah dimasukkan ke hospital atau mempunyai sebarang sejarah alahan sebelum ini.

“Kejadian ini disahkan berlaku disebabkan gementar, kurang tidur dan tidak mengambil sarapan sebelum vaksinasi.

“Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bersama Pejabat Kesihatan Daerah bagaimanapun akan terus memantau status kesihatan remaja ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau sehubungan itu menasihati kepada semua ibu-bapa dan penjaga yang akan membawa anak anak untuk vaksinasi supaya memastikan anak-anak mereka mendapat rehat yang mencukupi dan makan sebelum hadir ke PPV.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat atau berita tidak sahih.

“Untuk pertanyaan mengenai perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi bilik Gerakan vaksin di talian 06-2356876 atau 06-2930164 atau melalui email [email protected],” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

904
Kongsi :
Previous post Biro Pendidikan NCWOM anjur webinar cara tangani stres ketika pandemik
Next post Tidur lewat, tidak bersarapan punca pelajar longlai selepas divaksin- Dr Noor Azmi
Ubah saiz-+=