
SEPERLAHAN MANA SUARA RAKYAT, WAJIB SAMPAI KE TELINGA KERAJAAN
TANJUNG BIDARA 14 September – Keluh-kesah rakyat, biarpun kecil dan suara yang disampaikan secara perlahan, tetap perlu diberi perhatian supaya setiap permasalahan dapat didengar serta diusahakan penyelesaiannya oleh Kerajaan Negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu menjadi antara prinsip utama pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang membawa barisan kepimpinan Kerajaan Negeri turun sendiri ke lapangan untuk mendengar denyut nadi rakyat.
Menurut Ab Rauf, pendekatan mendengar dan menyelesaikan permasalahan rakyat itu bukan perkara baharu kerana ia telah dilaksanakan secara konsisten sepanjang 27 siri WRUR yang diadakan sejak dua tahun lalu dan siri terakhir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
“Kalau di 27 DUN sebelum ini kita datang membawa sentuhan dan penyelesaian kepada rakyat, di Tanjung Bidara juga tidak terkecuali.
“Sekecil mana pun keluh-kesah rakyat, tetap besar nilainya di mata kerajaan, seperlahan mana pun suara rakyat, tetap wajib sampai ke telinga kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, sebagai DUN ke-28 dan terakhir yang menjadi lokasi pelaksanaan WRUR, beliau mahu program di Tanjung Bidara disempurnakan sebaik mungkin dengan memastikan suara serta permasalahan rakyat setempat mendapat perhatian sewajarnya.
Atas faktor itu, beliau membawa seluruh kekuatan pentadbiran Kerajaan Negeri untuk turun bersama-sama, mendengar sendiri denyut nadi rakyat dan melihat apa yang boleh diselesaikan.
“Maka, sebagai DUN terakhir, sudah tentu saya mahu WRUR Tanjung Bidara menyempurnakan keseluruhan perjalanan ini dengan sebaik-baiknya.
“Bukan kerana Tanjung Bidara merupakan DUN Ketua Menteri, tetapi kerana bagi saya, di mana pun kita berada dan siapa pun wakil rakyatnya, hak rakyat untuk disantuni serta menerima khidmat terbaik tetap sama,” katanya.
WRUR DUN Tanjung Bidara berlangsung selama tujuh hari bermula hari ini dan merupakan siri ke-28 serta terakhir selepas menjelajah kesemua 28 DUN di Melaka sejak diperkenalkan dua tahun lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

