Sorting by

×

Tiga hingga empat penunggang p-hailing terlibat kemalangan seminggu

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SHAH ALAM, 25 Jun – Anggaran tiga ke empat kes kemalangan dilaporkan secara mingguan berlaku dalam kalangan penunggang p-hailing di negara ini kerana terlalu penat bekerja serta terikat dengan sistem aplikasi.

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) Zulhelmi Mansor berkata selain itu kurangnya kesedaran mengenai tahap keselamatan antara punca utama berlaku kemalangan melibatkan golongan terbabit.

“Rata-rata mereka bekerja melebihi empat jam tanpa henti demi mengejar trip dan tempahan sehingga kepenatan dan akhirnya mengakibatkan kemalangan,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PENGHANTAR dan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan Malaysia (MSOSH) di sini hari ini.

MoU tersebut ditandatangi Zulhelmi mewakili PENGHANTAR manakala MSOSH diwakili Presidennya Dr Shawaludin Husin, yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan dalam kalangan penunggang p-hailing.

“Kerjasama ini bagi menyokong polisi keselamatan dan kesihatan PENGHANTAR ke arah mewujudkan budaya kerja selamat dalam kalangan penunggang p-hailing serta sentiasa menjadikan pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) berteraskan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,”katanya.

“Ia juga bagi meningkatkan kesedaran dan perlindungan dalam kalangan penunggang p-hailing terhadap KKP selain memastikan setiap penghantar memakai peralatan perlindungan diri ketika bekerja,” katanya.

Sementara itu, Dr Shawaludin berkata MSOSH akan mengiktiraf modul Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang dibangunkan Penghantar, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Ia akan diadaptasikan dalam panduan KKP P-Hailing secara menyeluruh sekali gus memperbaiki jaringan keselamatan sosial pekerjanya,” katanya.

MSOSH hari ini telah melancarkan laman sesawang Persidangan Tahunan Pertubuhan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Asia Pasifik (APOSHO) 2023 yang dijangka berlangsung pada Oktober tahun hadapan.

Malaysia melalui MSOSH akan menjadi tuan rumah persidangan tersebut yang menghimpunkan lebih 40 pertubuhan KKP dari 23 negara di rantau Asia Pasifik. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1439
Kongsi :
Previous post Panik, biawak masuk dapur
Next post Harga ayam: Bukan pusingan U, tapi berasaskan pandangan rakyat – PM
Ubah saiz-+=