Tiga kadar bayaran zakat fitrah di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 28 Mac – Kerajaan negeri mengumumkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM7, RM14 dan RM21 bagi Melaka pada tahun ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kutipan zakat pada tahun ini dijangka meningkat kepada RM5,150,000 atau 2.07 peratus berbanding RM5,045,782 sebelum ini.

“Malah pembayar zakat juga meningkat sebanyak 0.07 peratus menjadikan jumlahnya seramai 662,144 orang pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat, di Seri Negeri, hari ini.

Menurutnya, sebanyak enam saluran pembayaran zakat disediakan bagi memudahkan orang ramai.

“Pembayaran boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web Zakat Melaka iaitu www.izakat.com, imbasan kod QRPay DuitNow dan Perbankan Internet Maybank.

“Selain cara konvesional melalui Amil, Pegawai Syarak yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), orang ramai juga boleh membayar menerusi Portal MelakaPay yang dikenali sebagai Portal E-Bayar Kerajaan Negeri Melaka serta Aplikasi MobilApps MelakaPay,” katanya.

Dalam perkembangan lain Sulaiman berkata, solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal dibenarkan di negeri ini namun sebarang sentuhan fizikal tidak dibenarkan bagi membendung penularan COVID-19.

“Jawatankuasa masjid dan surau juga boleh serta dibenarkan menggunakan sejadah bersaiz standard untuk penandaan kedudukan antara jemaah solat.

“Selain itu, aktiviti bukan solat berjemaah seperti ceramah dan sebagainya, SOP umum bagi penjarakan fizikal adalah perlu dipatuhi,” katanya.

Selain itu orang ramai digalakkan supaya membawa sendiri sejadah dari rumah masing-masing untuk berjemaah di masjid atau surau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1314
Kongsi :
Previous post Sasar bina 10 ‘syurga’ baharu tahun ini
Next post Aktiviti pencerobohan sudah diambil tindakan
Ubah saiz-+=