Tiga lagi Rumah Prihatin dibina di Kuala Linggi

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KUALA LINGGI 28 April – Tiga lagi Rumah Prihatin bakal disiapkan sepenuhnya tidak lama lagi bagi membantu menyediakan penginapan selesa untuk anggota komuniti B40 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.

Rumah berkenaan masing-masing sedang dibina di Kampung Sungai Tuang, Kampung Nelayan dan Kampung Permatang dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Menjelaskannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah berkata ketiga-tiga rumah berkenaan melengkapkan empat rumah sedemikian yang sudah disiapkan baru-baru ini.

“Alhamdulillah kerajaan negeri yang prihatin terhadap nasib rakyat yang tidak memiliki rumah sendiri sentiasa membantu untuk membolehkan mereka menikmati kehidupan selesa.

“Hanya dalam tempoh agak singkat sejak rumah dibina, mereka berpeluang menghuni rumah dua atau tiga bilik bergantung kepada anggota keluarga,” katanya selepas menyerahkan kunci Rumah Prihatin kepada Iskandar Wong Abdullah, 46, dan isteri, Mary Ahmad, 43, di Kampung Baru, Kuala Sungai Baru, di sini semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Alor Gajah, Saiful Hazwa Kifli dan Jurutera Daerah (JD) Alor Gajah, Ir Mohd Haidir Haron.

Rosli berkata, rumah berkenaan bukan setakat dilengkapi dengan dua atau tiga bilik tidur, dapur dan ruang tamu, malah bekalan air bersih dan elektrik.

Katanya, Rumah Prihatin dua bilik dibina dengan kos RM30,000 manakala yang tiga bilik sebanyak RM37,500.

Untuk mendapatkan rumah berkenaan, ujarnya, pemohon harus mengemukakan geran tanah yang membuktikan mereka adalah pemilik yang sah tanah yang dicadangkan untuk dibina rumah berkenaan sebelum siasatan kesahihan butiran yang diberikan pemohon dilakukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1672
Kongsi :
Previous post TYT Melaka rai pengamal media
Next post Dua beradik perempuan cedera disyaki didera bapa tiri
Ubah saiz-+=