Tiga lelaki berdepan hukuman mati, bunuh rakan jenayah

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 22 Jan – Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Rumah Pangsa Batu Berendam, 5 Januari lalu.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, S S Darsan, 41 , A Sethu, 33 dan K Raja Segaran 40 didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian S Kumar, 41 di rumah beralamat D-12-3 Rumah Pangsa Baru Berendam, Melaka Tengah, pada jam antara 5 hingga 7 petang 5 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, Darsan dan Sethu yang bekerja sebagai tukang cuci manakala Raja Segaran bekerja di bahagian pemprosesan ayam didakwa mengikut 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin manakala Darsan diwakili Paul Krishnaraja.

Mahkamah menetapkan semula sebutan kes pada 11 Mac ini bagi serahan laporan kimia dan forensik.

Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan penemuan mayat lelaki oleh orang awam dalam keadaan tertiarap dan ditutup dengan kain putih di tempat duduk belakang kereta jenis Proton Perdana berkenaan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali dilaporkan berkata siasatan awal mendapati motif pembunuhan adalah disebabkan pergaduhan rakan sejenayah, yang dipercayai tidak berpuas hati dengan hasil samun bersenjata oleh empat suspek di sebuah kedai serbaneka di Kota Laksamana pada 4 Januari lalu.

Views:

612
Kongsi :
Previous post Cukuplah sekadar memohon keampunan Allah.
Next post Melaka komited jayakan penubuhan AKSM
Ubah saiz-+=