Tingkatkan integriti, jaga imej kerajaan negeri – KM

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 28 Julai – Kurang satu peratus daripada 5,675 penjawat awam di negeri ini dikesan melakukan kesalahan membabitkan integriti.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, daripada jumlah itu hanya sembilan penjawat awam yang direkodkan melakukan kesalahan tahun ini berbanding 13 pada 2021.

“Saya menggesa semua semua penjawat awam agar menjaga imej kerajaan negeri, jangan hanya kerana ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’.

“Ingatlah rakyat sentiasa memerhatikan segala tingkah laku kita, saya percaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak lalai dalam melaksanakan tanggungjawab membanteras rasuah.

“Semua ketua-ketua jabatan dan agensi tunjuk contoh yang terbaik kepada rakyat, buktikan kepimpinan serta teladan penuh nilai murni dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Kerajaan Negeri dan Pelancaran Pelan Anti Rasuah Negeri Melaka (MACP) Tahun 2022-2026 di Auditorium Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Strategik) GIACC SPRM, Datuk Abdul Aziz Aban.

Setakat ini Sulaiman, berpuas hati dengan perkhidmatan penjawat awam di negeri ini yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang baik.

“Jadi dengan pelancaran pelan MACP saya harap ianya dapat diterapkan dan menjadi rujukan kepada penjawat awam, sekiranya ada antara mereka tidak berintegriti itu tanggungjawab sendiri, kita tidak akan berkompromi.

“Kalau boleh kita mahukan sifar kesalahan integriti di negeri Melaka ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1086
Kongsi :
Previous post Mat ‘payung’ Tuisyen Rakyat DUN Duyong
Next post Merlimau Berpeluh diadakan setiap bulan
Ubah saiz-+=