Sorting by

×

Titik noktah Al Jufferi

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 31 Julai – Jaguh silat negara, Mohd Al Jufferi Jamari mengulangi pendirian untuk bersara daripada arena sukan tempur itu dan menjadikan kejuaraan dunia keempat sebagai titik noktah untuknya.

Beliau berkata, walaupun pernah beberapa kali dipujuk untuk meneruskan kerjaya sebagai pesilat negara, namun faktor kesihatan menjadi antara penyebab utama untuknya mengundurkan diri.

Ujarnya, beliau akan meluangkan lebih masa bersama keluarga, selain menumpukan kepada beberapa perkara lain sebaik sahaja tidak lagi bergelar atlet negara selepas ini.

“Bagi saya jika dapat ataupun tidak dapat pingat emas, saya tetap dengan keputusan saya iaitu menamatkan karier saya selaku atlet silat negara yang hampir 15 tahun berkecimpung dalam dunia ini.

“Kerana saya nak lebih perhatian ataupun rehat bersama keluarga dan menjalani seperti orang biasa menjalani kerja-kerja rutin harian mereka.

“Pasal bersara, dah banyak kali, masa Sukan Sea saya dah mohon untuk bersara, tapi mereka kata peringkat dunia dah nak dekat, tolonglah, dia kata dan percaya yang saya boleh, (tapi) waktu itu saya tak nampak gambaran langsung yang saya dapat kecederaan.

“Dia kena terima, dia tak terima saya minta maaf, titik noktah, kalau pujuk pun tak mahu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjuarai kategori Kelas F Putera pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 Tahun 2022 di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, malam tadi.

AL Jufferi menunjukkan pingat emas terakhirnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kecederaan yang dihadapinya selama ini memerlukan masa untuk pulih memandangkan sudah beberapa tahun menderita kecederaan berulang.

“Tangan kanan saya adalah ‘killer’ saya namun menggunakan kekuatan tangan kanan saya ini…dan ada sedikit tercabut bahu (terkehel), Alhamdulillah Allah bantu dengan baik, masuk dengan sendirinya,

“Rahsia dari awal ‘game’ sampai hari ini ‘final’, memang Allah yang tahu kesakitan saya macam mana, saya menahan semua bebanan, kesakitan ini di dalam diri saya.

“Setiap hari itu memang ada kecederaan daripada bahu saya sebab kerana apabila pertama kali dulu bahu terkehel memang selepas itu dia akan tercabut lagi, tak kisah sama ada tidur, tengah angkat baldi dia akan tercabut dengan sendirinya,” katanya.

Menurut Al Jufferi, selepas ini beliau akan memberi tumpuan terhadap Akademi Semboyan Warrior di Saujana Putra, Selangor bagi melatih lebih ramai pelapis dalam sukan silat pada masa akan datang.

Terdahulu, pada pentas akhir yang dihadiri lebih 1,200 penonton, Al Jufferi unggul menewaskan pencabarnya Iqbal Chandra Pratama dari Indonesia dengan kemenangan 35-21.

Kemenangan itu sekali gus melengkapkan koleksi kejuaraan dunia keempatnya setelah 15 tahun berkecimpung dalam sukan seni bela diri itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1679
Kongsi :
Previous post Bekas MB Selangor meninggal dunia
Next post Lelaki lemas ketika menjaring ikan
Ubah saiz-+=