TMM2024: Inap desa ibarat ‘pisang goreng panas’

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

TELOK MAS 2 Jun – Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) membawa nikmat kepada pengusaha inap desa (homestay) di negeri ini apabila merekodkan jumlah tempahan 100 peratus.

Pengerusi Persatuan Pemilik Homestay dan Kampungstay negeri, Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, sejak TMM2024 dilancarkan perkhidmatan itu menjadi tumpuan dalam kalangan pelancong.

Jelasnya, permintaan terhadap inap desa di kawasan bandar, pinggir bandar atau kampung meningkat hingga ada dalam kalangan pengusaha terpaksa menolak tempahan.

“Sepanjang musim cuti sekolah tempahan juga amat menggalakkan. Alhamdulillah ramai yang datang untuk bercuti di Negeri Melaka.

“Berdasarkan perkembangan positif ini saya yakin, sasaran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, menarik sehingga 18 juta pengunjung dan pelancong ke Melaka akan tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Program Empowering Homestay 2.0 @Alai yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, di Balai Raya Kampung Baruh Alai, semalam.

Menurut Akramuddin, bagi memperhebatkan kualiti perkhidmatan inap desa di Melaka, jalinan kerjasama dengan pihak yang berkenaan akan dilaksanakan.

Menurutnya, pengusaha perlu diberikan lebih banyak pendedahan dan bimbingan kemahiran dalam memperbaiki serta meningkatkan lagi mutu perkhidmatan mereka.

“Selepas ini kita akan bekerjasama lagi dengan politeknik dengan mengadakan kursus seperti cara untuk membersihkan kediaman, susun atur perabot demi memberi keselesaan kepada pelanggan.

“Malah kami turut mempunyai kolaborasi yang baik dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang sentiasa memberi sokongan dalam menambah baik mutu perkhidmatan inap desa,” katanya.

Terdahulu, Program Empowering Homestay 2.0 @Alai yang berlangsung di Balai Raya Kampung Baruh Alai adalah anjuran bersama Politeknik Merlimau dan Homestay Alai.

AKRAMUDDIN (dua dari kiri) mengiringi Abdul Razak ketika menyempurnakan gimik perasmian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

156
Kongsi :
Previous post Melaka atur persiapan rapi bagi Pameran Hang Tuah 
Next post Melaka Bila Larut Malam: Panggung Bangsawan beza ‘show’ setiap bulan
Ubah saiz-+=