TMM2024: Pekan Kuala Linggi bakal berwajah baharu

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KUALA LINGGI 3 November – Pekan Kuala Linggi bakal berubah wajah dengan pembinaan pelbagai infrastruktur sebelum penghujung tahun ini bagi menghadapi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah berkata prasarana dan infrastruktur yang bakal dibina itu bakal memberi manfaat dan keselesaan masyarakat Kuala Linggi khususnya.

Katanya, langkah itu juga sebagai persiapan sempena TMM2024, untuk menyambut kunjungan pelancong sebagai yang sering melalui pintu sempadan melalui Kuala Linggi ke negeri ini.

“Pekan Kuala Linggi mutakhir ini sering menjadi tumpuan pengunjung di mana setiap hujung minggu pasti akan sesak dengan kunjungan pelancong luar.

“Jadi kita akan naik taraf pekan ini, bina kemudahan awam tambah prasarana infrastruktur yang perlu di mana kesemua perancangan ini akan disiapkan penghujung Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas ditemui pada Program Bayaran Saguhati Ex-Gratia Kepada Nelayan Yang Terjejas Akibat Cadangan Pembangunan Pelabuhan KLIP di Japerun Kuala Linggi.

Rosli yang juga Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri turut memaklumkan, pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) untuk membina pintu gerbang di Jambatan Kuala Linggi.

“Pintu gerbang tersebut akan dihias sempena TMM2024 di Jambatan Kuala Linggi yang merupakan pintu masuk ke negeri ini daripada Negeri Sembilan.

“Antara lain perkembangan terbaharu di DUN Kuala Linggi ialah perasmian jeti Sungai Linggi yang akan dijadikan perhentian produk ekopelancongan baharu.

“Namun bila perasmian produk baharu DUN Kuala Linggi itu akan dilaksanakan belum dimuktamadkan lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1576
Kongsi :
Previous post 40 asnaf Pengkalan Batu terima zakat
Next post DUN Pengkalan Batu kawasan pertama sifar miskin tegar
Ubah saiz-+=