DUN Pengkalan Batu kawasan pertama sifar miskin tegar

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PENGKALAN BATU 3 November – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, bakal menjadi kawasan pertama di negeri ini yang mencapai sifar miskin tegar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)nya, Datuk Kalsom Noordin berkata bagi merealisasikan hasrat itu pihaknya bersama beberapa pihak yang terbabit termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turun padang dan berjumpa dengan penduduk daripada golongan miskin tegar.

“Kita di Pengkalan Batu bakal mencapai sifar miskin tegar apabila sebelum ini kita yang mempunyai lebih 40 ketua keluarga berstatus miskin tegar kini menurun ke angka belasan.

“Justeru itu kita yakin menjelang hujung tahun ini sasaran mencapai sifar miskin tegar di DUN Pengkalan Batu dapat dicapai.

“Apa kita buat adalah mereka yang terbabit termasuk Japerun dan JKM, kami turun padang dan berjumpa dengan sasaran, contohnya ada yang mengadu susah kita akan tengok bantuan apa yang sesuai termasuklah turut menyediakan peralatan untuk berniaga jika mereka berminat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyerahan Zakat TM Melaka yang turut dihadiri Pengurus Besar TM Melaka Datuk Rozlan Mohamed, di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, hari ini.

Kalsom yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata, selepas sasaran itu berjaya direalisasi di kawasannya, langkah itu kemudian akan diperluaskan ke DUN lain di seluruh Melaka.

“Keseluruhan di Melaka ini, ketua isi rumah berstatus miskin tegar seramai 1,450 orang dan mereka ini disalurkan pelbagai bantuan termasuklah dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Untuk itu selepas sifar miskin tegar di Pengkalan Batu kita akan ke kawasan lain pula iaitu sasaran di DUN Masjid Tanah pula. Mereka ini kita akan jejak secara berperingkat termasuk berpandukan senarai penerima bantuan eKasih,” katanya.

Mengulas lanjut Kalsom berkata, kod QR Prih@tinJkmMelaka yang sebelum ini dilancarkan turut banyak membantu apabila menerima sambutan menggalakkan dan ramai yang menggunakan platform itu untuk menyalurkan aduan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1329
Kongsi :
Previous post TMM2024: Pekan Kuala Linggi bakal berwajah baharu
Next post Kanak-kanak 10 tahun lemas di Sungai Lurus
Ubah saiz-+=