TMM2024: Utamakan kebersihan, keceriaan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 12 Januari – Aspek kebersihan terus diberikan penekanan oleh Kerajaan Negeri terutama sepanjang kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang dilancarkan secara rasmi 31 Disember lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bukan sahaja Bandaraya Melaka, sebaliknya seluruh pelosok negeri ini perlu sentiasa bersih, indah dan ceria, termasuk kampung-kampung serta taman-taman perumahan.

“Semua lokasi di negeri ini, juga perlu dipastikan sentiasa dalam keadaan bersih, indah dan ceria. Barulah, lebih ramai pelancong dan pengunjung akan datang ke Melaka.

“Saya juga mahu semua kemudahan infrastruktur dan prasarana terutama di kawasan tarikan pelancong khusus sepanjang Sungai Melaka dan Banda Hilir sentiasa dalam keadaan lengkap termasuk aspek pemberdayaan teknologi digital,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 YAB Ketua Menteri Melaka yang bertemakan ‘Bijak Memimpin, Berani Bertindak’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran,Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee; barisan Timbalan Exco; ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran 18.7 juta orang iaitu 7.2 juta pelancong dan 11.5 juta pengunjung sepanjang TMM2024.

“Angka 7.2 juta pelancong adalah merujuk kepada mereka yang datang dan bermalam di Negeri Melaka, manakala 11.5 juta pengunjung pula mereka yang datang beriadah serta berbelanja tanpa bermalam,” kata Ketua Menteri.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

589
Kongsi :
Previous post Portal rasmi Kerajaan Negeri berwajah baharu
Next post Rombakan besar-besaran jabatan dan agensi Kerajaan Negeri
Ubah saiz-+=